CACJ ke-9 ambil maklum kesan serius pandemik

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Ketua Hakim Mahkamah Besar Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong, hari ini, telah menghadiri Mesyuarat Majlis Ketua-ketua Hakim ASEAN (CACJ) ke-9 yang berlangsung secara maya.

Dipengerusikan oleh Ketua Hakim Mahkamah Agung Republik Indonesia, Yang Amat Arif Profesor Dr Muhammad Syarifuddin, mesyuarat tahunan tersebut telah dihadiri oleh ketua-ketua hakim atau wakil mereka dari kesemua badan kehakiman negara ASEAN dan Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Lim Jock Hoi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Mahkamah Besar Negara Brunei Darussalam, CACJ kali ini membincangkan laporan yang dihadapkan mengenai kemajuan berbagai-bagai kumpulan kerja yang ditugaskan untuk melaksanakan usaha-usaha atau projek, seperti memudah cara proses-proses sivil di dalam ASEAN, pendidikan dan latihan kehakiman serta pertikaian rentas sempadan yang melibatkan kanak-kanak. 

CACJ juga mengambil maklum mengenai kesan serius pandemik COVID-19 terhadap masyarakat dan ekonomi serantau, dengan setiap perwakilan kehakiman ASEAN telah dialu-alukan untuk memaklumkan kemas kini tentang bagaimana mereka mentadbir sistem kehakiman dalam suasana menghadapi krisis kesihatan global ini.

Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong dalam ucapan alu-aluannya antara lain menekankan peranan CACJ dalam mendorong masyarakat dan komuniti dengan memastikan akses pada keadilan dan pentadbiran kehakiman yang berkesan serta telus.

Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong semasa mengikuti mesyuarat secara maya itu. – Gambar serahan Mahkamah Besar Negara Brunei Darussalam

Beliau bercakap tentang usaha-usaha Kumpulan Kerja Rentas Sempadan yang membabitkan kanak-kanak dan bagaimana ia diharapkan dapat menyatukan kehakiman ASEAN bersama-sama, sistem keadilan keluarga di dalam ASEAN dapat ditingkatkan dan boleh membantu memeduli sesama masyarakat serantau.

Ketua hakim juga menekankan kepentingan pendidikan dan latihan kehakiman dan manfaatnya, bahawa hakim-hakim dan pegawai-pegawai kehakiman sentiasa berbekal dengan pengetahuan dan kepakaran terkini. 

Kenyataan menyatakan, ketua-ketua hakim dan ketua delegasi telah menerima pakai Deklarasi Bersama CACJ ke-9 yang boleh didapati di laman web Kehakiman ASEAN CACJ.

Turut menghadiri mesyuarat berkenaan ialah Yang Amat Arif Pesuruhjaya Kehakiman dan Ketua Pendaftar Mahkamah Besar, Yang Arif Hakim Haji Abdullah Soefri bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Hakim Muhammed Faisal bin Pehin Datu Juragan Laila Diraja Dato Seri Pahlawan Kolonel (B) Haji Kefli bersama hakim-hakim dan pegawai-pegawai kehakiman.

CACJ menyediakan forum dasar untuk ketua-ketua hakim berbincang dan bertukar pandangan tentang isu-isu bersama yang dihadapi oleh badan kehakiman ASEAN.

Ia merupakan landasan untuk mengembangkan hubungan erat dan membina kesefahaman bersama dalam kalangan kehakiman ASEAN.