Cadang buka kilang roti

TUARAN – Keputusan menceburi perniagaan membuat roti kira-kira tiga tahun lalu berbaloi, apabila perusahaan milik seorang usahawan dari Tuaran itu kini semakin berkembang maju dan dikenali pelanggan, di daerah berkenaan.

Beroperasi atas nama Bochoes Delight, pemiliknya bermula dengan berniaga jagung manis, sebelum mengambil keputusan bertukar bidang kepada pembuatan roti.

Pengurus Perniagaan roti tersebut, Aloysious Jounoh, berkata perniagaan membuat roti itu tercetus, apabila melihat perusahaan berkenaan mempunyai masa depan boleh maju, selain belum ramai diceburi usahawan tempatan, di Tuaran.

“Sebelum berjaya, perusahaan ini hampir gagal apabila sebahagian besar hasil keluaran tidak menjadi, namun saya tidak berputus asa dan terus mencuba dengan berusaha mencari ilmu berkaitan dan mencipta pelbagai resipi baharu.

“Selepas lebih dua bulan mencuba, lama kelamaan hasil keluaran roti dari syarikat ini semakin berkualiti dan enak sehingga mendapat perhatian pelanggan hingga hari ini,” katanya kepada Bernama.

Pengurus Perniagaan, Aloysious Jounoh, menunjukkan roti keluaran premisnya yang sering mendapat permintaan tinggi pelanggan. – Bernama
Pengurus Perniagaan Bochoes Delight, Aloysious Jounoh, menunjukkan beberapa jenis roti dan biskut yang dihasilkannya. – Bernama

Tanpa sokongan pembiayaan

Perusahaan milik pasangan lima anak Aloysious, 47, dari Kampung Damat, Tamparuli dan Hildah Edohon, 36, dari Kampung Dungang, Tuaran, dibangunkan tanpa sebarang sokongan pembiayaan sejak 2016.

“Sebelum berada di premis ini, kami beroperasi dari rumah secara kecil-kecilan selama 10 tahun sejak 2005,” katanya.

Syarikat berkenaan telah mengaji enam pekerja dan dibuka dari jam 8 pagi hingga jam 12 tengah malam, tujuh hari seminggu, mampu memproses 75 kilogram tepung untuk dijadikan roti setiap hari.

Beliau berkata, selain menjadikan premis perniagaan kekal sebagai pusat pasaran, syarikat tersebut turut menjadi pembekal roti kepada 12 kantin sekolah rendah dan menengah di daerah ini.

Katanya, syarikat berkenaan dalam proses permohonan mendapat kelulusan sijil halal dan permit pengilang dan perniagaan dari kerajaan, ke arah memberi keyakinan kepada pelanggan beragama Islam membeli keluaran premisnya.

Sehubungan itu, Aloysious bercadang membuka kilang roti jika ada peluang serta pembiayaan kewangan untuk penyediaan peralatan mesin dianggarkan bernilai lebih RM1 juta akan datang. – Bernama