KUALA LUMPUR, 18 MEI – Malaysia perlu mula merancang untuk pemulihan industri pelancongan seperti melaksanakan strategi membuka sempadan antarabangsa kepada pelancong yang telah menerima vaksin COVID-19, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berakhir.
Presiden Malaysian Inbound Tourism Association (MITA), Uzaidi Udanis berkata dalam usaha memulihkan semula industri pelancongan yang terjejas, Malaysia boleh melihat dan mengkaji amalan terbaik negara lain seperti Qatar, Maldives dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Kita perlu melakukan satu uji kaji yang kita boleh uji destinasi tertentu seperti Qatar – Malaysia sebagai contoh sebelum membuka sempadan kepada destinasi lain.
“Pada masa yang sama kita perlu juga melihat membenarkan pelancong yang telah divaksin masuk ke Malaysia tanpa perlu menjalani satu tempoh kuarantin dari Oktober 2021 seterusnya dengan tempahan wajib menerusi agensi pelancongan,” kata beliau kepada pemberita dalam satu sidang media menerusi aplikasi Zoom hari ini.
Beliau berkata persatuan itu berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan membenarkan gelembung perjalanan domestik selepas PKP dengan tempahan perjalanan menerusi agensi pelancongan sahaja.
Bagi memastikan kemandrian industri pelancongan, Uzaidi juga menggesa satu moratorium pinjaman automatik dengan sifar faedah bagi kesemua pinjaman berkuat kuasa sehingga penghujung tahun kepada semua pemain pelancongan persendirian dan syarikat pelancongan yang mempunyai kemudahan pinjaman sebelum Mac 2020. – Bernama