Cadang ujian ART sebagai alternatif untuk pas vaksin

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Apabila negara sudah mencapai 70 peratus penduduk lengkap dua dos, pastinya perancangan pembukaan semula ekonomi negara akan dilaksanakan secara berperingkat dengan adanya pas vaksin dan prosedur operasi standard (SOP) tertentu, namun kelonggaran ini hanya diberikan kepada masyarakat yang sudah menerima suntikan vaksinasi sepenuhnya.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar berkata, apabila sudah memasuki fasa endemik dengan 80 peratus penduduk lengkap vaksinasi dan lebih ramai menerima dua dos, pelbagai kaedah lain akan dilaksanakan lagi ketika memasuki sesuatu tempat seperti penggunaan ujian pantas antigen (ART).

Namun perlu diingatkan ia memerlukan kos perbelanjaan tertentu oleh seseorang individu mahu pun pihak premis tertentu.

“Maka dalam hal ini, kerajaan telah menampung berjuta-juta kos perbelanjaan dalam kita menangani penularan pandemik COVID-19, maka saya menyeru mereka yang belum bervaksin untuk tampil menjalankan tanggungjawab mereka untuk sama-sama
melindungi,” tekan Yang Berhormat Dato semasa mengulas soalan mengenai alternatif lain bagi orang yang belum divaksinasi untuk memasuki premis awam seperti penggunaan ART semasa sidang media, hari ini.