Cadangan buka pintu sempadan ke S’pura dirunding

KUALA LUMPUR, 23 NOV – Kementerian Luar sedang berunding dengan kerajaan Singapura berhubung cadangan membuka pintu sempadan dan membenarkan rakyat Malaysia berulang-alik dari Johor ke republik itu untuk bekerja.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata cadangan prosedur operasi standard (SOP) berhubung perkara itu telah pun disiapkan oleh kerajaan Negeri Johor bersama Jabatan Kesihatan Negeri Johor untuk diteliti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya difahamkan hampir 200,000 rakyat kita yang bekerja di Singapura berulang-alik menggunakan motosikal dan sebagainya. Perkara ini masih dirundingkan oleh Kementerian Luar kerana ia melibatkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Singapura.

“KKM akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan di Singapura berhubung cadangan SOP tersebut dan selepas ada persetujuan, barulah Kementerian Luar (Malaysia dan Singapura) akan berbincang dari segi kebenaran untuk berulang-alik,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar yang memaklumkan ada rakyat Malaysia terperangkap di republik itu akibat penutupan sempadan sekali gus menghalang mereka berulang-alik dari Johor seperti sebelum ini.

Laporan tersebut turut memaklumkan disebabkan kos sara hidup yang tinggi di Singapura, mereka terpaksa hidup sebagai gelandangan di republik itu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga sedang mendapatkan maklumat berkaitan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan masalah yang mereka hadapi.

“Selama ini tidak tahu sama ada mereka masih lagi bekerja atau diberhentikan, ataupun masih bekerja tanpa gaji… kita tidak tahu. Kita minta MKN dapatkan lebih banyak butiran tentang masalah yang dihadapi oleh pekerja Malaysia di Singapura,” katanya.

Sementara itu, menjawab keperluan menangguhkan program hiburan, beliau berkata perkara tersebut akan dibawa kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk dipertimbangkan. – Bernama