Cadangan jadikan CPR mata pelajaran wajib

KUCHING, 9 Jan – Seorang aktivis sosial terkemuka merayu kerajaan supaya menjadikan Resusitasi Kardiopulmonari atau CPR sebagai mata pelajaran wajib di sekolah dan institusi pengajian tinggi di negara ini.

Datuk Seri Ang Lai Soon, yang juga Pengerusi Majlis St. John Ambulance Sarawak berkata, beliau yakin kerajaan Persekutuan baharu tidak hanya akan menyokong cadangan itu, bahkan akan turut melaksanakannya secepat mungkin.

“Tidak ada salahnya untuk bermula dengan pelajar sekolah, tetapi pada hemat saya, semua pelajar di institusi pengajian tinggi akan turut mendapat manfaat dan seharusnya dilatih sama dalam CPR (teknik pertolongan cemas pernafasan mulut ke mulut).

“Dasar pendidikan/kesihatan baharu ini akan mengelak tragedi mengakibatkan kehilangan nyawa yang berlaku setiap hari,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ang berkata beberapa tahun lepas apabila beliau memulakan kempen di Sarawak supaya CPR dijadikan mata pelajaran wajib, Kerajaan Persekutuan ketika itu menyokong penuh cadangan berkenaan, termasuk untuk mengkaji bagaimana Kementerian Pendidikan dapat menggabungkannya ke dalam silibus sedia ada.

Beliau berkata sokongan turut dizahirkan kerajaan negeri Sarawak sekarang dan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah malah memberi beberapa cadangan.

“Bagaimanapun, sebelum cadangan saya dapat diterjemah menjadi suatu dasar, terdapat perubahan dalam kerajaan berikutan Pilihan Raya Umum,” kata Ang, dan menambah, beliau gembira apabila mendapati negara lain turut memberi perhatian serius terhadap rayuan itu. Beliau berkata Britain baru sahaja mengumumkan negara itu akan memulakan latihan CPR di sekolah pada 2020, namun beliau berharap pihak berkuasa di Britain akan turut memasukkan semua institusi pengajian tinggi.

Katanya setiap tahun di United Kingdom, terdapat kira-kira 30,000 kes di luar hospital membabitkan denyutan jantung terhenti, bagaimanapun kurang daripada 10 peratus daripada mangsa berjaya diselamatkan kerana tiada pihak yang tahu tentang teknik CPR ketika saat yang paling genting itu. – Bernama