Cadangan Menteri Pengangkutan disambut baik

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes menyambut baik cadangan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook untuk mengkaji semula caj perkhidmatan penumpang (PSC) bagi mencerminkan kemudahan lapangan terbang masing-masing.

Dalam catatan terbaharu beliau di Twitter, Fernandes berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) menyediakan kemudahan yang berbeza, justeru itu, PSC perlu berbeza.

“Pada pendapat saya, penumpang syarikat penerbangan tidak dikenakan caj dengan adil berikutan kemudahan yang berbeza.

“Bagaimana penumpang AirAsia membayar cukai lapangan terbang yang sama di KLIA2 seperti mereka di KLIA1?” katanya.

Dalam catatan berasingan, Fernandes mengumumkan beberapa permohonan laluan syarikat penerbangan tambang rendah itu telah diluluskan. – Bernama