Cadangan perbaiki situasi pekerja tempatan

Beberapa minggu yang lalu, ruangan Pendapat Pembaca dalam Media Permata ada menyiarkan tiga surat mengenai keluhan pekerja tempatan dalam sektor swasta dan usaha mereka mencari pencerahan daripada pihak berkenaan.

Saya merasa terpanggil untuk menyentuh mengenai perkara ini. Di negara ini, terdapat badan yang menyelia atur mengenai pekerjaan dan padanan kerja serta program-program yang menyalurkan anak tempatan sama ada ke sektor swasta atau awam untuk tujuan perantisan, penetapan kerja dan sebagainya.

Apa yang ingin saya bangkitkan di sini adalah cadangan-cadangan yang mungkin mampu memperbaiki serba sedikit nasib sama ada pekerja swasta bukan daripada program itu atau lepasan program atau yang sedang dalam program tersebut, dan ini memerlukan bantuan daripada pihak berkenaan. Perkara ini juga menjadi perbincangan di media sosial, di meja kopi atau semasa lepak-lepak selepas kerja antara belia tempatan dan ada kalanya disertai penduduk tempatan, luar dan sebagainya yang turut menyalurkan idea untuk pembaikan.

Apa yang boleh dicadangkan adalah bantuan kepada sektor swasta, seperti salah satu program yang mendapat bantuan gaji daripada kerajaan. Maka bagi pekerja sektor swasta yang gajinya di bawah 1,000 atau kurang, mungkin kerajaan boleh memberi sedikit insentif bersesuaian dengan jenis pekerjaan. Di luar negara, terdapat banyak insentif untuk memaksimumkan gaji atau diberi dalam tempoh tertentu seperti tiga, enam atau 12 bulan, namun disebabkan COVID-19 ia mungkin terhad buat masa sekarang, tetapi sebaik pandemik berlalu, ia boleh difikirkan.

Satu lagi cadangan ialah untuk menetapkan gaji minimum, misalnya bagi beberapa industri, ditetapkan gaji sedemikian minimumnya, maka di sini nasib mereka sedikit terbela. Penetapan gaji minimum ini turut dipraktikkan di negara-negara luar dan Brunei mungkin boleh mencontohinya serba sedikit. Namun ia perlu diumumkan dan dipantau sebaiknya.

Bagi mendapat maklum balas terbaik pula, pihak berkenaan perlu selalu turun padang, membuat tinjauan online atau membuat panggilan kepada anak-anak tempatan yang bekerja dalam sektor berkenaan. Sudah pasti, apabila tinjauan dibuat akan nampak apa yang tersirat, maka dari sana, tindakan dan pertimbangan boleh diambil untuk merancang dan melaksanakan serta memperbaiki keadaan. Tinjauan ini juga bertujuan mendapat maklum balas daripada mereka tentang apa yang mungkin boleh dilakukan oleh pihak berkenaan.

Apa yang saya perhatikan, anak-anak tempatan ada kalanya sukar menyuarakan pendapat mereka kerana adanya tapisan, perasaan malu dan perasaan takut. Mungkin ada lagi cadangan yang lebih bernas daripada pemikir-pemikir dasar atau yang lainnya, boleh membawa kepada perubahan satu hari kelak. Jika tidak pun sekarang, bertatih berubah pun sudah baik.

Syafiq 2