Cadangan segerakan baki projek Pan Borneo Sabah dikaji

KUALA LUMPUR, 15 NOV – Kerajaan sedang mengkaji dan meneliti cadangan-cadangan bagi menyegerakan pelaksanaan keseluruhan baki projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa Satu yang merangkumi 19 pakej kerja.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia termasuk mempertimbangkan kaedah pelaksanaan secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dan pembiayaan melalui terbitan sukuk/bon oleh DanaInfra Nasional Berhad.

“Namun, sebarang kaedah pelaksanaan adalah tertakluk kepada penelitian lanjut bersama agensi pusat dan kemampuan kewangan semasa kerajaan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

 Sebanyak 35 pakej kerja dirangka dilaksanakan dalam fasa satu projek LPB Sabah membabitkan jarak 706km.

Beliau berkata projek LPB Sabah dan Sarawak se-panjang 1,492 km merupakan inisiatif kerajaan Persekutuan untuk menambah baik secara berperingkat jaringan infrastruktur jalan raya di Sabah dan Sarawak. – Bernama

Menteri Kanan Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof menghadiri Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen, semalam. – Bernama