CAEXPO 2021 mula di Guilin

GUILIN, 17 OKT – Pameran Pelancongan Ekspo China-ASEAN (CAEXPOTE) 2021 membuka tirainya di Pusat Persidangan dan Pameran Antarabangsa Guilin, wilayah Guangxi, China pada 15 Oktober, bertemakan ‘merancakkan pembinaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), memacu perkembangan industri pelancongan berkualiti tinggi’.

Berpandukan Wawasan Perkongsian Strategik ASEAN-China 2030 pameran itu berperanan sebagai komponen dalam pembinaan BRI dan dilihat dapat menyumbang kepada pembinaan Komuniti Berkongsi Nasib China-ASEAN yang lebih padu sekali gus membantu pengusaha pelancongan China-ASEAN mengembangkan kerjasama ke lebih banyak negara terlibat dengan BRI.

Berlangsung di kawasan seluas kira-kira 25,000 meter persegi, ia merangkumi sejumlah gerai pameran yang masing-masing bertemakan ‘BRI’, ‘program pelancongan di seberang laut’, ‘program pelancongan domestik’, ‘kelengkapan industri pelancongan’, ‘penggunaan pelancongan’, dan ‘produk pelancongan antarabangsa’.

Pameran itu sebelum ini telah diadakan enam kali di Guilin yang dipilih menjadi tuan rumah kekal sejak 2015. – Bernama