Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Caj EES ke Brunei mengikut kenderaan kurangkan beban penduduk

    KUCHING, 7 DIS – Kadar caj Sistem Keluar dan Masuk (EES) ke Brunei mengikut kenderaan berbanding individu sebelum ini dilihat dapat mengurangkan beban penduduk Sarawak yang sering merentas sempadan ke negara itu.

    Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata kadar baharu yang akan berkuat kuasa bermula 12 Dis merupakan satu perkembangan yang baik.

    “Keputusan ini diharap dapat mengurangkan beban rakyat terutama rakyat Sarawak yang merentas sempadan antara Miri, Brunei, Limbang dan Lawas bagi urusan kerja, belajar dan lawatan sosial.

    “Kita juga harapkan keputusan ini akan memudahkan urusan import dan eksport barangan sekali gus mempergiat aktiviti sektor ekonomi antara Sarawak dan Brunei,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Lee berkata kementeriannya telah menerima kenyataan rasmi daripada Konsulat Jeneral Brunei di Kuching mengenai pengemaskinian kadar caj EES terkini bagi kenderaan yang membuat perjalanan melalui semua pos kawalan darat negara Brunei. 

    Beliau berkata kenderaan penumpang dengan muatan tidak melebihi tujuh orang termasuk pemandu akan dikenakan bayaran $3 setiap kenderaan bagi satu hala perjalanan.

    “Kenderaan penumpang dengan muatan lebih tujuh orang hingga 25 orang termasuk pemandu seperti van atau bas mini akan dikenakan bayaran sebanyak $6 setiap kenderaan bagi satu hala perjalanan.

    “Kenderaan penumpang dengan muatan lebih daripada 25 orang termasuk pemandu seperti bas pula akan dikenakan bayaran sebanyak $10 setiap kenderaan bagi satu hala perjalanan,” katanya. – Bernama 

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...