Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Bermula 12 Disember, caj perkhidmatan bagi Sistem Keluar dan Masuk (EES) akan dikenakan ke atas setiap kenderaan sahaja, yang melalui semua pos kawalan darat di negara ini mengikut kadar tertentu.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof semasa Sidang Media Jawatankuasa Pandu COVID-19 di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Ia adalah bagi menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Beliau menjelaskan bagi kenderaan penumpang dengan muatan tidak melebihi tujuh orang termasuk pemandu, akan dikenakan bayaran $3 setiap kenderaan bagi satu hala perjalanan.
Bagi kenderaan penumpang dengan muatan lebih daripada tujuh orang hingga 25 orang termasuk pemandu, seperti van atau bas mini, akan dikenakan bayaran sebanyak $6 setiap kenderaan bagi satu hala perjalanan.
Bagi kenderaan penumpang dengan muatan lebih daripada 25 orang termasuk pemandu, seperti bas pula akan dikenakan bayaran sebanyak $10.
Bagi kenderaan komersial yang tidak akan memerlukan pemeriksaan melalui mesin pengimbas, akan dikenakan bayaran sebanyak $6.
Manakala itu, bagi kenderaan komersial yang perlu menjalani pemeriksaan melalui mesin pengimbas, akan dikenakan bayaran sebanyak $10.
Bayaran caj perkhidmatan akan dikenakan ke atas semua kenderaan yang hendak melalui kesemua pos kawalan darat di negara ini tanpa mengira tempat pendaftaran kenderaan.
Menurut beliau, bayaran akan dikecualikan bagi pejalan kaki dan kenderaan-kenderaan seperti basikal, motosikal, kenderaan yang dimiliki oleh kerajaan Brunei atau kerajaan luar negara bagi kegunaan rasmi, kenderaan yang dimiliki oleh pegawai kerajaan Brunei atau kerajaan luar negara bagi menjalankan tugas rasmi, kenderaan yang dimiliki oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, kenderaan khusus seperti ambulans, bomba dan polis dan kenderaan yang digunakan bagi tujuan pengebumian dan kenderaan yang digunakan oleh mana-mana orang di bawah Diplomatic Privileges (Vienna Convention) Act (Chapter 117) dan Consular Relations Act (Chapter 118).
Bagi orang ramai yang telah merancang untuk merentas sempadan pada atau selepas 12 Disember, tetapi telah lebih awal membuat pembayaran caj perkhidmatan melalui EES, JKED akan menguruskan bayaran balik yang berkenaan.