Caleb: Impian jadi kenyataan

PERANCIS, 18 JULAI – Caleb Ewan dari Australia memenangi peringkat Tour de France buat kali pertama di Toulouse hari ini sementara penunggang dari Perancis Julian Alaphilippe terus mengekalkan kedudukan keseluruhan.

Ewan berkata kemenangan itu benar-benar berbaloi selepas meninggalkan isteri dan anak perempuannya di tanah air untuk menjuarai peringkat Tour de France buat kali pertama.

Dengan juara bertahan Geraint Thomas dan rakan sepasukan Ineos Egan Bernal juga menamatkan perlumbaan hari ini, tidak ada perubahan dalam tiga peringkat teratas selepas persaingan 167km dari Albi ke Toulouse.

Ewan melengkapkan penguasaannya selepas berjaya mengejar dan memotong penunggang dari Belanda Dylan Groenewegen. Elia Viviani berada di tempat ketiga.

“Saya mengambil separuh Tour de France untuk mendapatkan kemenangan tetapi saya akhirnya berjaya,” kata Ewan.

“Saya membiarkan dia memecut dahulu dan mengatasinya kemudian,” jelas penunggang berusia 25 tahun itu dalam musim pertamanya bersama pasukan Lotto-Soudal.

Ewan menegaskan kemenangan peringkat adalah impiannya yang menjadi kenyataan dan hadiah kepada orang yang berkorban untuk kemenangannya.

“Apabila saya mula berbasikal pada usia 10 tahun, saya selalu berpura-pura berlumba di Tour de France dan memenanginya,” katanya. “Memenangi peringkat hampir menjadikan segala-galanya berbaloi meninggalkan Australia, isteri dengan anak perempuan saya yang baharu lahir.

“Isteri saya sangat kuat dan saya tidak akan dapat melakukan ini tanpa dia. Saya perlu berterima kasih kepadanya kerana merealisasikan impian saya. – AFP

Caleb meraikan kejayaan di podium selepas memenangi peringkat ke-11 Tour de France dari Albi hingga ke Toulouse, kelmarin. – AP