NEWPORT BEACH, UNITED STATES, 4 OKT – Pihak berkuasa Orange County di California berusaha menangani insiden tumpahan minyak di luar pesisir yang telah mengakibatkan ‘impak besar terhadap ekologi’.
Pihak berkuasa Huntington Beach menyatakan kelmarin, tumpahan minyak sebanyak 480,000 liter minyak mentah pasca-pembuatan itu dianggarkan telah menjangkau hingga kira-kira 5.8 batu nautika panjang dan di sepanjang garis pantai popular Huntington Beach dan Newport Beach.
“Insiden tumpahan itu telah menjejaskan pantai Huntington, dengan impak besar ekologi di pantai dan Hungtinton Beach Wetlands,” katanya. Insiden tumpahan itu bermula sekitar jam 9 pagi dua hari lepas, kata pengawal pantai. Menjelang awal pagi kelmarin, minyak dan bangkai binatang akibat insiden tersebut mula kelihatan mencemari Huntington Beach, sebuah bandar yang mempunyai 200,000 penduduk terletak kira-kira 40 batu selatan Los Angeles, kata Penyelia Orange County, Katrina Foley. “Kami mula menemui bangkai burung dan ikan yang terdampar di kawasan pantai,” katanya. Menurut kenyataan Foley, dia bertemu dengan pejabat kesihatan alam sekitar dan wakil dari pihak bandar kelmarin. “Kami sangat risau akan insiden itu,” katanya.
“Kesannya akan menjadi semakin teruk berbanding bau dan kesan minyak yang sedang dihadapi oleh penduduk. Impak terhadap alam sekitar tidak akan dapat dipulihkan.”
Dalam sidang media kelmarin, pegawai telah memberi amaran kepada penduduk untuk tidak memegang atau cuba menyelamatkan hidupan liar yang terkesan oleh minyak tersebut.
“Sekarang, kita ada pasukan peninjau yang membuat penelitian dan pemerhatian di pantai untuk mengesan sebarang kehidupan liar yang mungkin terkesan dengan tumpahan minyak tersebut,” kata Leftenan Christian Corbo, Pegawai Pejabat Tindak Balas dan Pencegahan Tumpahan. – AFP