California saman Trump

LOS ANGELES, 10 JULAI – California akan memfailkan saman terhadap pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ekoran dasarnya mengugut pelajar yang menjalani proses pengajian secara dalam talian susulan COVID-19.

Tuntutan saman itu akan difailkan Peguam Negara California, Xavier Becerra selepas Trump mendesak fasiliti pendidikan dibuka semula, walaupun kes jangkitan COVID-19 terus melonjak, khususnya di negeri selatan dan barat.

Pendakwa Raya Persekutuan yang pernah memfailkan puluhan tuntutan saman terhadap dasar presiden dari Republikan itu menegaskan akan bertemu dengan pentadbiran Trump di mahkamah.

“Dasar pentadbiran Trump tidak sah… mengancam akan memburukkan penularan COVID-19 dan mengasingkan ratusan ribu penuntut di AS.

“Pentadbiran Trump memalukan kerana bukan hanya mempertaruhkan peluang pendidikan kepada pelajar di kampus, tetapi juga menjejas kesihatan dan kesejahteraan mereka. “Memaksa universiti dan kolej di California membuka kelas secara bersemuka akan mengancam kewangan mereka, selain berpeluang menyebabkan penularan wabak lebih teruk,” katanya dalam kenyataan bagi mengumumkan tuntutan itu.

Isnin lalu, Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) AS mengumumkan pelajar asing yang mendaftar kelas secara dalam talian sepenuhnya bagi semester musim luruh tidak akan dibenarkan memasuki negara itu. – AFP