Cameroon nafi pilihan raya ditangguhkan

YAOUNDE, 3 DIS – Kerajaan Cameroon menafikan kononnya pilihan raya umum yang dijadual pada Februari 2020 akan ditangguhkan, lapor agensi berita Xinhua memetik seorang jurucakap kerajaan semalam.

“Kerajaan menyelar apa jua gerakan serta tindakan yang bertujuan mengugut, mewujudkan situasi tidak stabil serta cubaan pihak luar untuk campur tangan, seolah-olah sengaja menyokong penangguhan proses pilihan raya, ia disifatkan satu tindakan melanggar undang-undang negara kita,” kata jurucakap kerajaan Cameroon Emmanuel Rene Sadi.

Cameroon telah menunda pilihan raya sebanyak dua kali dan sebarang penangguhan selepas ini adalah tidak dibenarkan berdasarkan undang-undang, kata Sadi. Minggu lalu, ketua pembangkang Maurice Kamto berkata parti Gerakan Renaissance Cameroon akan memboikot pilihan raya itu mendakwa keselamatan negara masih tidak stabil dan menuduh kod pilihan raya sebagai  ‘berat sebelah’. – Bernama