DOHA, 28 NOV – Penyerang Costa Rica, Joel Campbell memuji personaliti pasukannya setelah mereka bangkit daripada pembelasahan Sepanyol dengan menewaskan Jepun 1-0 baru-baru ini.
Los Ticos telah melupakan detik hitam dimalukan Sepanyol 7-0 dengan merampas kemenangan daripada pasukan Jepun melalui serangan Keysher Fuller pada minit ke-81.
Costa Rica sebelum ini dikritik hebat akibat kekalahan semasa menentang Sepanyol, namun pemain veteran, Campbell berkata mereka tidak pernah berhenti menaruh harapan dan percaya bahawa mereka mampu mengubah nasib pasukan.
“Kalah 7-0 dan bangun semula untuk menewaskan Jepun 1-0, hanya pasukan yang mempunyai personaliti tertentu sahaja boleh melakukannya,” kata Campbell.
“Keputusan perlawanan pertama adalah perkara biasa yang boleh berlaku dalam bola sepak.”
Costa Rica memperkukuhkan benteng pertahanan ketika menentang Jepun dan tidak menunjukkan taring mereka sehinggalah kesilapan dibuat oleh pemain pertahanan Jepun, Maya Yoshida yang memberikan mereka peluang untuk membuat jaringan.
“Jelas sekali kami menderita selepas ditewaskan oleh Sepanyol, tetapi sekarang kami berasa lega,” kata Fulller.
“Kami bukanlah yang terbaik, namun kami bukanlah yang terburuk juga.
“Tidak kiralah siapa yang menjaringkan gol, yang penting ialah gol telah dijaringkan.”
Costa Rica kini berpeluang untuk mara ke pusingan kalah mati dan akan berdepan Jerman dalam perlawanan peringkat kumpulan pada Khamis.
“Ia bukan sesuatu yang mudah. Mereka ialah bekas juara. Tetapi, saya mempunyai keyakinan terhadap pasukan ini dan apa-apa pun boleh terjadi,” kata Campbell.
“Ia agak sukar untuk mara namun kami mempunyai impian dan keberanian.” – AFP