Monday, October 7, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Campur tangan Venezuela, AS gagal sepakat

    WASHINGTON, 2 Mei – Media Amerika Syarikat pada Rabu melaporkan, pentadbiran Presiden Donald Trump gagal mencapai kata sepakat sama ada mahu melakukan campur tangan tentera di Venezuela bagi menyokong pemimpin pembangkang, Juan Guaido, lapor agensi berita Xinhua.

    Akhbar Washington Post melaporkan, ketika kerajaan Maduro tidak berganjak selepas menangkis rampasan kuasa pada Selasa, pentadbiran Trump menghantar mesej bercampur-campur mengenai apakah fungsi tentera Amerika, jika ada, dalam usaha Washington menangani krisis di negara itu pada masa depan.

    “Presiden Amerika, ‘kelihatan keberatan untuk terjebak di Venezuela’,” menurut bekas dan pegawai presiden itu yang dipetik akhbar berkenaan.

    Setiausaha Negara, Mike Pompeo, memberiahu rangkaian berita Fox Business pada Rabu, penyelesaian aman masih diusahakan tetapi “tindakan ketenteraan adalah suatu yang mungkin. Andai perlu, itu yang akan dilakukan Amerika,” katanya.

    Pentagon pada Rabu turut kelihatan tidak menghebohkan sebarang persediaan aktif untuk campur tangan langsung di Venezuela tetapi mengesahkan mempunyai pelan kecemasan sejak krisis di negara itu menjadi semakin buruk.

    Pembantah antikerajaan membaling Molotov ke arah pasukan keselamatan di sekitar pangkalan tentera La Carlota di Caracas semasa memperingati Hari Pekerja semalam, sehari selepas pertempuran ganas tercetus di jalan-jalan bandar raya diseru oleh pemimpin pembangkang, Juan Guaido untuk bangkit menentang Presiden Nicolas Maduro. – AFP

    Pengerusi Ketua Staf Angkatan Tentera, Jeneral Joseph Dunford dalam keterangannya di Kongres menyatakan, sehingga kini, kebanyakan daripada aktiviti mereka adalah diplomatik dan ekonomi.

    “Malah, ketika Penasihat Keselamatan Kebangsaan John Bolton mendesak dasar lebih agresif terhadap Venezuela, dia mencetuskan kemarahan di dalam dan di luar Rumah Putih,” menurut Washington Post.

    Sebelum cubaan rampasan kuasa, kakitangan Bolton bertelingkah dengan pembantu Dunford, Jeneral Paul Selva, dalam mesyuarat berhubung krisis itu, menurut beberapa pegawai.

    Amerika berusaha membentangkan dasar mengenakan sekatan ekonomi dan pengasingan diplomatik ke atas kerajaan Venezuela sebagai sokongan terhadap Guaido.

    Ia mengiktiraf Guaido sebagai presiden sementara pada 23 Januari, selepas Maduro dilantik untuk penggal kedua. Sebagai tindak balas, Maduro mengumumkan ia memutuskan hubungan diplomatik dan politik dengan Amerika.  – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda