Campuran dua vaksin masih dikaji – Khairy

KUALA NERUS, 17 JUN – Kerajaan Malaysia masih mengkaji dan mempertimbangkan kaedah campuran atau ‘mix and match’ vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca, bagi melengkapkan dua dos vaksin.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, perkara tersebut telah pun dibentangkan dalam Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) dua minggu lepas, namun setakat ini keputusan mengenai kaedah campuran vaksin itu belum dimuktamadkan.

“(Campuran vaksin) Masih lagi dalam kajian dan kita bentangkan di JKJAV dua minggu lepas, tetapi belum dimuktamadkan lagi oleh jawatankuasa kerja teknikal kita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Stadium Tertutup Gong Badak di Kompleks Sukan Negeri di sini, hari ini.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi melalui sesi webinar yang dihoskan oleh ‘Oxford and Cambridge Society of Malaysia’ semalam dilaporkan berkata, terdapat beberapa data ‘real-world’ yang diterima dari Jerman, mengenai vaksinasi heterologi menggunakan AstraZeneca bagi dos pertama dan Pfizer untuk dos kedua, yang telah terbukti meningkatkan peneutralan antibodi dan menjadi lebih efektif terhadap varian.

Turut hadir pada lawatan tersebut Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim, Exco Kesihatan Negeri Dr Alias Razak dan Dr Nor Azimi. – Bernama

Proses suntikan vaksin COVID-19 terhadap warga emas (berkerusi, roda) di pusat pemberian vaksin (PPV) Stadium Tertutup Gong Badak. Kerajaan Malaysia akan mempertimbangkan campuran dua vaksin, Pfizer dan AstraZeneca. – Bernama