Cangkerang kima gergasi AS$3.3 Juta dirampas

MANILA, 5 MAC – Pihak berkuasa Filipina merampas cangkerang kerang atau kima gergasi yang dituai secara haram dan bernilai AS$3.3 juta ketika penyeludup beralih kepada hidupan terancam itu bagi menggantikan perdagangan gading haram.

Dalam satu daripada operasi terbesar seumpamanya di negara itu, 80 tan spesies tropika itu ditemui di sebuah kampung di pulau terpencil di gugusan barat Palawan, kata pegawai hari ini.

Filipina merupakan habitat bagi sebahagian besar spesies kima tropika gergasi dunia, yang dianggap terancam di negara itu tatkala kegiatan pemburuan meningkat.

Ahli pemuliharaan mengatakan cangkerangnya digunakan sebagai bahan alternatif bagi produk terdiri daripada anting-anting sehinggalah candelier ketika gading semakin sukar didapati di tengah-tengah tindakan keras global ke atas perdagangan haram gading gajah.

Kima gergasi haram itu ditemui di Pulau Johnson pada Rabu ketika pasukan marin, pengawal pantai dan pegawai pemuliharaan tempatan menyerbu rumah-rumah di sana, menggali lebih daripada 300 cangkerang kima bernilai sekitar AS$3.3 juta di pasaran gelap. – AFP

Gambar serahan Pengawal Pantai Filipina (PCG) menunjukkan pasukan marin, pengawal pantai dan pegawai pemuliharaan tempatan menggali kima gergasi berhampiran kediaman di Pulau Johnson, wilayah Palawan, 5 Mac. – AFP