Canon M’sia sasar perluas perniagaan

KUALA LUMPUR, 22 NOV – Canon Marketing Malaysia menyasar untuk mewujudkan perniagaan baharu dan berkembang menerusi pempelbagaian serta perluasan berkaitan operasi sedia ada kepada dua segmen – perniagaan-kepada-perniagaan (B2B) dan perniagaan-kepada-pengguna (B2C).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Andrew Koh berkata syarikat mengenal pasti dan menerima cabaran pertumbuhan baharu melalui transformasi strategik ke atas B2B dan B2C.

“Dalam segmen B2B kami, Canon menyasar untuk mengembangkan segmen ini sehingga 50 peratus daripada perolehan keseluruhan dalam tempoh tiga tahun, dan pada masa ini, kami telah mencapai 35 peratus,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata bagi segmen B2C, Canon mahu menambah baik pasaran secara berterusan dengan menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang dapat memenuhi keperluan pengguna di setiap peringkat kehidupan. – Bernama