Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Cantik dan berkhasiat untuk kesihatan

    Oleh Nurdiyanah R.

    Kebanyakan masyarakat dekad ini lebih peka terhadap penjagaan kesihatan seperti mengamalkan pengambilan makanan seimbang dan berkhasiat bagi memastikan tubuh kekal sihat.

    Di samping itu, ramai juga sedar kesihatan adalah harta paling bermakna dalam hidup dan menjadi satu tugas untuk menghargai serta menjaganya. Namun hakikatnya, penjagaan tubuh badan yang sihat bukan hanya tertumpu pada senaman semata-mata, malah terdapat pelbagai sumber semula jadi yang memiliki khasiat atau manfaat untuk kesihatan.

    Sumber semula jadi ini merangkumi pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan, buah-buahan dan juga bunga-bungaan yang sememangnya memiliki rahsia kebaikan seribu khasiat untuk kesihatan yang terkandung di dalamnya.

    Dalam segmen rencana kali ini, penulis akan membawa para pembaca untuk menerokai beberapa jenis bunga-bungaan yang mempunyai manfaat alami untuk mencegah dan juga merawat penyakit secara semula jadi.

    Bunga raya

    Salah satu jenis bunga yang memiliki khasiat kesihatan di dalamnya ialah bunga raya. Selain daripada keindahan semula jadinya, ia juga mempunyai sifat-sifat perawatan yang mana semua bahagian tumbuhan ini dianggap berguna dalam merawat pelbagai jenis penyakit.

    Orang Mesir menggunakan teh bunga raya untuk menurunkan suhu tubuh ketika demam dan merawat penyakit saraf.
    Bukan hanya mengeluarkan warna yang cantik, namun bunga telang juga memiliki khasiat yang tersendiri untuk kesihatan, antaranya mampu meningkatkan daya ingatan serta mengurangkan kawalan tekanan.
    Bunga rosella mampu mengimbangi kadar gula dalam darah, asam urat, dan kolesterol dan mengatasi batuk dan sakit tekak serta mencegah penyakit kanser serta dapat membantu mengurangkan berat badan.
    Komponen khasiat yang terdapat di dalam bunga raya adalah vitamin C dan mineral.
    Antioksida iaitu karatinoid yang terdapat pada bunga kantan dapat mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit kanser selain ianya dapat mengekalkan awet muda.

    Komponen khasiat yang terdapat di dalam bunga raya adalah vitamin C dan mineral. Malah, ia dipercayai menyembuhkan penyakit seperti rambut gugur dan beruban. Oleh yang demikian, cara merawat rambut secara semula jadi dengan bunga raya adalah dengan mengeringkan bunga itu dan menjadikannya dalam bentuk serbuk yang halus dan lalu dicampurkan dengan air untuk disapu pada kulit kepala.

    Sejak dahulu lagi bunga raya digunakan dalam budaya berbeza sebagai ubat untuk merawat pelbagai penyakit, contohnya orang Mesir menggunakan teh bunga raya untuk menurunkan suhu tubuh ketika demam dan merawat penyakit saraf dan jantung. Manakala di Afrika, bunga raya digunakan dalam rawatan penyakit hati dan juga sembelit.

    Di samping itu, tumbuhan ini juga dapat dijadikan sebagai ubat untuk tekanan darah tinggi dan juga mengurangkan tahap kolesterol yang tinggi yang menjadi faktor utama serangan jantung serta membantu menggurangkan berat badan apabila ia dijadikan teh.

    Bunga rosella

    Selain itu, si cantik merah menawan, bunga rosella, bukan hanya memiliki keindahan untuk menghias persekitaran halaman kediaman bahkan hakikatnya ia menyimpan pelbagai manfaat untuk kesihatan bagi mereka yang mengamalkannya.

    Pohon bunga rosella tumbuh daripada biji atau benih dengan ketinggian yang boleh mencapai antara tiga hingga lima meter serta mengeluarkan bunga hampir sepanjang tahun. Rosella yang nama latinnya Hisbiscus sabdariffa l dikatakan tumbuhan yang berasal dari benua Afrika.

    Pada umumnya kelopak bunga rosella sering dijadikan minuman dengan rasanya yang masam dan segar sehingga sangat sesuai dijadikan variasi jenis olahan yang lain seperti jem dan juga serbuk teh.

    Bunga yang berwarna merah gelap dan tebal itu juga memiliki khasiat yang tersendiri untuk kesihatan hingga kecantikan, antaranya mampu mengimbangi kadar gula dalam darah, asam urat, dan kolesterol; dan mengatasi batuk dan sakit tekak serta mencegah penyakit kanser. Selain itu, ia juga dapat membantu mengurangkan berat badan dan juga meningkatkan metabolisme tubuh badan serta mengawetkan kulit.

    Bunga kantan

    Bunga ketiga yang ingin penulis kongsikan ialah bunga kantan atau lebih dikenali sesetengah masyarakat sebagai bunga siantan. Bunga daripada keluarga halia (zingiberaceae) ini merupakan sejenis pokok herba jenis berumpun saka yang hidup subur di kawasan tropika terutama di Asia Tenggara.

    Bunga ini sering digunakan dalam masakan laksa dan nasi kerabu sebagai bahan perisa dan penambah rasa kerana bunga kantan mempunyai rasa segar dan agak pedas.

    Kelopak bunga kantan yang belum berkembang boleh dihiris halus dan dijadikan kerabu atau dijadikan ulam ulaman. Ia juga menjadikan makanan tambah menarik kerana warna bunga kantan yang berwarna merah jambu kekal walaupun sudah dimasak.

    Antara kegunaan dan khasiat yang terkandung dalam bunga kantan ialah ia mengandungi bahan antioksida iaitu karatinoid yang dapat mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit kanser selain ianya dapat mengekalkan awet muda. Air rebusan bunga kantan juga boleh digunakan untuk membasuh luka.

    Bagi pesakit gout, dengan meminum air rebusan tiga batang kuntum bunga Kantan yang dimasak bersama 4.5 liter air selama tiga hari berturut turut akan dapat menyembuhkan sendi-sendi yang bengkak. Bagi wanita selepas bersalin pula, air mandian bunga kantan dapat menghilangkan bau badan dan juga menyegarkan badan.

    Bunga telang

    Bukan hanya dijadikan sebagai hiasan tanaman para pencinta bunga-bungaan, bunga telang yang merupakan salah satu tumbuhan semula jadi yang memiliki keindahan kelopak bunganya yang berwarna biru muda itu juga sememangnya juga memiliki manfaat untuk kesihatan tubuh badan apabila dijadikan bahan asas dalam masakan seperti hidangan Nasi Kerabu.

    Bukan hanya mengeluarkan warna yang cantik, namun bunga telang ini juga memiliki khasiat yang tersendiri untuk kesihatan, antaranya mampu meningkatkan daya ingatan serta mengurangkan kawalan tekanan.

    Di samping itu, ia juga sebagai antioksidan bagi membantu tubuh seperti meningkatkan kesihatan jantung.

    Oleh yang demikian, bunga-bungaan bukan hanya memiliki nilai keindahannya, namun hakikatnya ia juga memiliki khasiat yang sangat baik untuk kesihatan. Memang tidak semua jenis bunga berkhasiat apabila dimakan, namun sebahagiannya dapat menambah warna dan rasa ke dalam hidangan-hidangan tertentu sehingga mewujudkan keistimewaan yang tersendiri, lebih-lebih lagi memiliki kandungan nutrisi yang dapat meningkatkan kesihatan tubuh badan apabila diamalkan dengan cara yang betul.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...