Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Cantik yang dicari, derita yang diperoleh

    Oleh Sakini Mohd Said

    KUALA LUMPUR – “Untuk rawatan PRP (plasma kaya platelet) bagi merawat jeragat, kami (juruterapi kecantikan) yang lakukan kerana di sini tidak ada doktor. Tetapi kami semua terlatih dan berpengalaman untuk melakukannya.”

    Jawapan daripada petugas di sebuah pusat kecantikan di Lembah Klang itu memeranjatkan saya kerana setahu saya rawatan tersebut merupakan prosedur perubatan yang hanya boleh dilakukan oleh doktor berkelayakan.

    Berdepan dengan masalah jeragat pada wajah sejak tiga tahun lalu dan kini semakin ketara menyebabkan saya melayari laman sosial untuk mencari pusat rawatan terbaik bagi menangani masalah itu, dan antara penemuan saya ialah PRP kini menjadi rawatan kegilaan kaum hawa dan banyak ditawarkan oleh pusat kecantikan.

    Dikatakan rawatan itu dapat meremajakan semula wajah termasuk menangani masalah pigmentasi atau jeragat, PRP yang turut dikenali sebagai ‘vampire facial’  merupakan proses menyuntik plasma daripada darah sendiri pada muka. Rawatan ini sebenarnya digunakan oleh pakar bedah ortopedik bagi mempercepat pemulihan kecederaan tulang, namun dalam kalangan sesetengah pakar dermatologi, PRP turut digunakan bagi meremajakan kulit pesakit.    

    Hanya pada harga serendah RM150 berbanding perkhidmatan doktor pakar yang mempunyai Letter of Credentialing and Privileging (LCP) menyebabkan rawatan PRP yang ditawarkan oleh pusat kecantikan mendapat sambutan hangat khususnya ketika Ramadan ini.

    Kaedah laser karbon adalah salah satu prosedur yang amat berkesan membantu mencerahkan wajah. – Agensi

    Plasma kaya platelet (PRP) kini menjadi rawatan kegilaan kaum hawa dan banyak ditawarkan oleh pusat kecantikan. – Agensi

    Cantik demi Raya

    “Semasa Ramadan, ada dua rawatan (yang) popular kak, satu rawatan jeragat dan satu lagi ‘glow treatment’. 

    “Ramai hendak cantik untuk raya kali ini. Maklumlah sudah dua tahun tidak dapat beraya, kali ini mestilah nak raya dengan wajah cantik, kulit berseri,” jelas seorang petugas di sebuah pusat kecantikan di Ampang dekat sini. 

    Kenyataan juruterapi kecantikan itu bukan omong kosong kerana sepanjang saya berada di premis tersebut pelanggan tidak putus-putus datang dengan ada yang hendak membuat rawatan bibir, jeragat dan pelbagai lagi.

    Rasa ingin tahu saya semakin membuak selepas dimaklumkan pusat kecantikan itu menawarkan harga PRP yang jauh lebih rendah berbanding klinik estetik bertauliah LCP, menyebabkan satu demi satu soalan saya ajukan kepada juruterapi kecantikan yang berpakaian ala doktor estetik tersebut.

    Namun ada beberapa soalan yang tidak mampu dijawab mereka khususnya berkaitan risiko PRP selain ketiadaan soal selidik tentang sejarah kesihatan pelanggan sebelum rawatan diberikan.

    Barangkali cuak dengan soalan saya, mereka mula mengelak daripada menjawab, sekali gus menimbulkan persoalan tentang kelayakan mereka dalam melakukan rawatan itu.   

    “Keadaan rawatan perubatan estetik ini amat membimbangkan. Apatah lagi sepanjang Ramadan ini pelbagai promosi ditawarkan pada harga tidak masuk akal dengan majoriti pusat tersebut menawarkan rawatan yang sepatutnya dilakukan oleh doktor berkelayakan sahaja. 

    “Sebenarnya, masyarakat sedar akan risiko melakukan rawatan wajah di pusat kecantikan tidak bertauliah, tetapi disebabkan ramai yang ingin tampil cantik ketika raya membuatkan ada yang tidak berfikir panjang tentang risiko,” kata pakar perubatan estetik Dr Nazelia Thibroni kepada Bernama.  Beliau yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang itu dan mempunyai tiga buah klinik yang dilesenkan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998, tidak menafikan rawatan jeragat merupakan antara rawatan yang dicari-cari. 

     Risiko dijangkiti HIV

    Beliau mengakui PRP antara kaedah yang digunakan untuk menangani masalah jeragat, namun katanya tidak semua pesakit sesuai untuk menjalani rawatan itu. Jelas beliau, antara yang tidak dibenarkan mene-rima rawatan PRP ialah pesakit kanser yang sedang menjalani kemoterapi, individu yang mempunyai masalah alergi serta penghidap anemia.

    “Difahamkan ada pakej rawatan jeragat menggabungkan laser dan PRP yang ditawarkan oleh pusat kecantikan tidak bertauliah. Mereka sekadar ‘scan’ muka tanpa menyelidik dahulu masalah kesihatan pelanggan. 

    “Ini sangat bahaya kerana berisiko mengundang komplikasi di kemudian hari, khususnya mereka yang ada penyakit. Jangan ambil mudah kerana rawatan ini berisiko mengancam nyawa,” katanya yang turut menyuarakan kebimbangan tentang tindakan sesetengah pihak menawarkan rawatan tersebut untuk dilakukan di rumah. Kegusaran pakar perubatan estetik itu berasas kerana tidak mustahil tawaran tersebut mendapat sambutan memandangkan ada dalam kalangan mereka yang mahu melakukan rawatan kecantikan di rumah atas pelbagai faktor termasuk kesibukan bekerja.

    Kebimbangan Dr Nazelia bukan sahaja tentang rawatan itu dilakukan oleh mereka yang tidak bertauliah tetapi juga aspek nyahkuman peranti yang digunakan. Media sebelum ini pernah melaporkan insiden dua pelanggan sebuah spa di Amerika Syarikat dijangkiti HIV selepas menjalani prosedur PRP di spa berkenaan antara Mei dan September 2018, membayangkan kemungkinan spa tersebut menggunakan jarum tercemar dengan darah penghidap HIV atau digunakan lebih daripada sekali. “Kemungkinan berlaku kejadian sebegini adalah sangat kecil sekiranya dikendalikan oleh doktor pakar bertauliah,” kata Dr Nazelia. 

     Derita selepas Raya

    Sambil menegaskan polemik ini tidak boleh dipandang enteng, Dr Nazelia berkata sikap kebanyakan wanita yang terlalu obses untuk cantik serta inginkan kesan segera namun pada masa sama mahukan kos murah, antara punca lambakan pakar estetik ‘jadian’ atau haram yang hanya peduli tentang keuntungan.

    Menurut Majlis Perubatan Malaysia, industri estetik bernilai berbilion dolar dan berkembang pada kadar 15 peratus setiap tahun, menjadikan industri itu sebagai antara sektor ekonomi bernilai tinggi untuk diteroka.

    “Masih ramai menyangka pakar kecantikan boleh membuat semua rawatan kosmetik dengan alasan sudah lama dan berpengalaman dalam bidang berkenaan. Sebenarnya persepsi itu salah sama sekali.  Hampir kesemua rawatan kosmetik perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu kecuali rawatan ‘facial’ biasa atau urutan,” jelasnya.  Dr Nazelia yang mengharapkan pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih agresif, berkata komplikasi akibat menerima rawatan daripada mereka yang tidak bertauliah bukan isu baharu dengan ada pesakit yang mengalami kecacatan kekal selain turut berdepan maut.  

    Beliau memberi contoh insiden seorang pendandan rambut menyaman dua doktor di sebuah klinik estetik dengan menuntut ganti rugi RM2.7 juta baru-baru ini kerana didakwa mengakibatkan kecacatan pada hidung selepas menjalani prosedur di klinik tersebut. 

    “Ini antara kes mendapatkan rawatan daripada pakar tidak bertauliah. Malah, klinik saya juga didatangi ramai pesakit yang ingin mendapatkan rawatan selepas raya untuk membetulkan kembali wajah yang rosak akibat menggunakan khidmat pusat kecantikan tidak bertauliah semasa Ramadan,” katanya. 

    Beliau turut mendedahkan sepanjang Ramadan kali ini kliniknya menerima banyak pesakit yang berdepan komplikasi akibat threadlifting bagi menegangkan kulit wajah, leher dan meremajakan kulit yang dilakukan oleh pihak tidak bertauliah. Antara komplikasi yang dialami ialah bernanah, bengkak, bahagian di mana hujung benang ditanam menjadi keras selain ada kes hidung pesakit yang tidak lagi kelihatan seperti hidung normal, kongsinya.

     Bukan Murah

    “Klinik saya didatangi ramai pesakit akibat mendapatkan rawatan benang daripada mereka yang tidak bertauliah dan aktif menawarkan perkhidmatan tersebut dari rumah ke rumah.

    “Malangnya saya tidak dapat merawat mereka. Kami tidak ada kepakaran untuk merawat mereka dan kesemua pesakit dirujuk kepada pakar pembedahan plastik,” ulas beliau. Menurutnya, beliau difahamkan rata-rata pesakit memberitahu mereka ditawarkan rawatan pada harga semurah RM70 berbanding klinik bertauliah yang mengenakan harga antara RM1,800 dan RM2,500. Kerana terpedaya dengan harga yang murah, pesakit kini menanggung kos lebih tinggi mencecah puluhan ribu ringgit bagi membetulkan semula kerosakan akibat rawatan oleh individu tidak bertauliah, selain ada yang mengalami parut kekal selepas kerosakan tidak dapat dipulihkan semula.

    “Kerana itu, amat penting memilih tempat yang betul-betul membuat rawatan perubatan estetik. Tersalah langkah bukan sahaja membuatkan seseorang itu perlu membelanjakan lebih banyak wang untuk membaiki kerosakan akibat komplikasi tetapi lebih membimbangkan adalah kehilangan nyawa,” katanya yang turut menasihati mereka yang ingin melakukan rawatan estetik agar mendapatkan rawatan itu daripada pakar sebenar. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...