Cantlay, Schauffele dahului Zurich Classic

LOS ANGELES, 22 APRIL – Xander Schauffele dan Patrick Cantlay berganding untuk mencatat 13-bawah par 59 kelmarin dalam pusingan pertama empat-bola Zurich Classic New Orleans, satu-satunya acara berpasukan dua pemain dalam Jelajah PGA.

Pemain beregu Amerika Syarikat (AS) itu mendahului satu pukulan mengatasi rakan senegara Amerika, Matthew NeSmith dan Taylor Moore di TPC Louisiana di Avondale.

Juara Piala FedEx, Cantlay dan pemenang pingat emas Olimpik Tokyo, Schauffele, berusaha merampas kedudukan pendahulu dengan catatan rekod.

Schauffele, pemenang empat kejuaraan Jelajah PGA AS, mencatat enam birdie dan Cantlay mempunyai eagle serta lima birdie ketika mereka mendahului dalam senarai kedudukan di mana Cantlay melakukan pukulan birdie di lubang ke-17 dan 18 untuk menamatkan pusingan tersebut.

Cantlay berkata bahawa dia tidak benar-benar memikirkan tentang par 59 apabila dia melancarkan pukulan birdienya kurang daripada empat kaki pada akhir saingan, disebabkan oleh format perlawanan adalah empat-bola.

Aksi Patrick Cantlay semasa melakukan pukulan eagle di lubang ke-12 semasa pusingan pertama PGA Zurich Classic di TPC Louisiana di Avondale. – AP

Tetapi Schauffele berkata walaupun pusingan sub-60 dalam format dua orang dalam perlawanan tidak membawa keputusan yang sama seperti seorang individu mendapatkan par 59, dia masih menganggapnya sebagai satu pencapaian.

Cantlay berkata bahawa dia berpendapat format berempat pada pusingan kedua hari ini akan membantu mereka mengekalkan momentum permainan tersebut.

NeSmith dan Moore menyamai rekod permainan di padang golf sebelumnya dengan par 60, mendahului selepas pemain England, Aaron Rai dan pemain Amerika, David Lipinski mengawal perlawanan awal dengan 61, diserlahkan oleh pukulan eagle Lipinski di lubang kelapan.

Mereka disertai pada par 61 oleh Tommy Gainey dan Robert Garrigus, serta Doc Redman dan Sam Ryder.

Pada awal perlawanan pertamanya sejak memenangi Masters, pemain nombor satu dunia, Scottie Scheffler bergandingan dengan Ryan Palmer untuk melakukan pukulan lapan-bawah par 64. – AFP