Sunday, March 26, 2023
27.2 C
Brunei

-

‘Canton Fair’ kembali diadakan secara fizikal

GUANGZHOU, 1 MAC – Pameran Ekspo Import dan Eksport China atau ‘Canton Fair’ edisi ke-133 bakal kembali diadakan sepenuhnya secara fizikal pada 15 April depan.

Menurut penganjur, tiga sesi pameran akan diadakan secara dalam dan luar talian secara serentak pada hari itu.

Buat julung kali juga ruang pameran fasa keempat akan disediakan pada ekspo kali ini selain turut menyaksikan penambahan tiga ruang pameran baharu dan tiga ruang pameran khas baharu.

‘Canton Fair’ yang bakal menemui pengunjung dengan tarikan serba baharu dijangka akan berkongsi peluang pembangunan baharu dengan seluruh dunia.

Naib Ketua Pengarah merangkap Ketua Setiausaha ‘Canton Fair’, Chu Shijia berkata keluasan ruang pameran ekspo kali ini merangkumi kawasan seluas 1.5 juta meter persegi berbanding 1.18 juta meter persegi sebelum ini.

“Lebih 30,000 syarikat dijangka menyertai ekspo kali ini dengan lebih 5,000 daripadanya mempunyai prestasi unggul dan teknologi canggih di peringkat kebangsaan,” kata beliau pada sesi promosi di sini semalam.

Chu juga memberitahu bahawa struktur pameran edisi ini turut dinaik taraf dengan tiga ruang pameran baharu yang merangkumi automasi perindustrian dan pembuatan pintar, kenderaan tenaga baharu dan pintar serta produk bersalin, anak damit dan kanak-kanak.

Sementara itu, tiga ruang khas baharu pula menyediakan kawasan pameran untuk kategori kehidupan pintar, warga emas serta reagen pengesanan dan barang-barang pelindung. – Bernama

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Xi jemput Sanchez adakan lawatan negara

MADRID, 24 MAC - Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez telah menerima jemputan daripada Presiden China, Xi Jinping untuk membuat lawatan negara ke Beijing ketika...
- Advertisment -