Oleh Amri HTZ
MELANGSUNGKAN pelbagai acara keramaian setentunya memerlukan kad rasmi bagi mengundang tetamu untuk menghadirinya. Walaupun pada zaman yang serba canggih ini terdapat pelbagai jenis aplikasi telefon pintar yang boleh digunakan, tetapi ini tidak menghalang gaya tradisional seperti kad digunakan untuk menjemput tetamu.
Acara keramaian seperti sambutan hari kelahiran, perkahwinan, hari raya, Doa Kesyukuran dan sebagainya masih menggunakan cara ini untuk menjemput para tetamu untuk menghadirinya. Selain mengekalkan cara lama, ia boleh dijadikan tempat untuk mempamerkan kreativiti anda dan dapat menjimatkan sedikit perbelanjaan untuk menghasilkan kad jemputan yang cantik dan berwarna-warni seperti yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat pencetakan.
Barang-barang yang diperlukan
Barang-barang yang diperlukan dalam projek kali ini adalah kayu berbentuk kiub dengan saiz dua inci panjang dan dua inci lebar (saiz dan jumlah kayu adalah mengikut kesukaan anda), Pluffy Clay (merupakan tanah liat polimer ringan) dan pelekat kalis air.
Manakala peralatan yang diperlukan dalam projek ini adalah rolling pin (alat penggelek yang digunakan untuk meratakan tepung), pisau pemotong, alat pengukir tanah liat, kertas baking, ketuhar, pensel dan Parchment paper.
Langkah-langkah yang perlu dilakukan
Pada langkah pertama projek ini, ratakan tanah liat yang telah disediakan dengan cara menggelekkan menggunakan rolling pin sehingga tanah liat tersebut mempunyai ketebalan lebih kurang satu perlapan inci. Melalui langkah ini, anda perlu menggelekkan tanah liat tersebut sehingga keseluruhannya rata. Setelah itu, lukiskan dan ukir reka bentuk yang disukai pada permukaan tanah liat tersebut.
Pastikan lakaran yang dibuat atau perkataan yang ditulis berada pada kedudukan terbalik. Ini bagi memastikan reka bentuk yang akan dicap nanti berada pada kedudukan yang betul. Anda juga boleh menggunakan teknik graphite transfer photo dan meniru lakaran imej cermin yang mempunyai reka bentuk yang lebih kompleks.
Manakala pada langkah kedua, menggunakan kayu kiub yang telah disediakan, tiru bahagian luar kiub dengan hanya menekankannya pada permukaan tanah liat. Setelah mendapatkan ukuran yang sama dengan kiub tersebut, potong tanah liat tersebut dengan menggunakan pisau pemotong atau peralatan mengukir tanah liat. Letakkan tanah liat yang telah dipotong atas permukaan kertas khas untuk membakar biskut dan bakar dengan menggunakan ketuhar selama 10 minit dengan suhu 275 darjah Celsius. Berikan tekanan terhadap permukaan atas tanah liat dengan hanya meletakkan kertas baking bagi memastikan tanah liat tersebut kekal merata semasa dibakar.
Menerusi langkah ketiga pula, selepas reka bentuk yang direka dibakar dan menyejuk, gunakan pelekat (gam) jenis kalis air untuk melekatkan setiap reka bentuk pada sisi kayu berbentuk kiub tersebut. Ikuti peraturan yang telah ditetapkan pada arahan yang terdapat pada kulit pelekat yang digunakan. Sentiasa melebihkan masa yang telah ditetapkan beberapa minit daripada yang telah ditetapkan bagi memastikan reka bentuk melekat dengan kukuh.
Penggunaan pelekat kalis air di sini adalah bagi memastikan setiap reka bentuk yang dilekatkan kekal berada di kedudukannya apabila anda mencelupnya pada dakwat atau pewarna yang digunakan. Jika pelekat biasa digunakan, anda akan berhadapan dengan risiko reka bentuk yang dilekatkan tertanggal kerana pelekat yang digunakan tidak tahan dengan kelembapan.
Setelah reka bentuk dilekatkan, gunakan busa atau span untuk menyapukan warna akrilik pada permukaan cap anda. Pastikan kertas yang bakal dicap menggunakan cap berbentuk kiub tersebut berada pada permukaan pad yang lembut bagi memastikan hasil akhir yang terbaik. Helaian span, busa, tuala atau beberapa lapisan kertas tisu yang dijadikan sebagai pad juga akan memberikan hasil akhir yang baik ketika melakukan proses pengecapan.