CaP diberiga

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Jerayawara bagi memberigakan caj perkhidmatan (CaP) keluar masuk melalui pos-pos kawalan darat negara ini yang akan dilaksanakan bermula 1 Ogos depan diteruskan lagi untuk para penghulu dan ketua-ketua kampung di Daerah Brunei dan Muara yang berlangsung di Dewan Teater, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, hari ini.

Hadir semasa jerayawara tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari.

Pemangku Pengawal Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Haji Muhsin bin Haji Ahmad ketika temu bual ringkas bersama Media Permata selepas Jerayawara Perintah Bayaran Keluar dan Bayaran Masuk, 2020 bagi Penghulu dan Ketua-ketua Kampung di Daerah Brunei dan Muara, berkata, kadar $3 untuk satu hala itu boleh dibayar dalam dua cara iaitu sama ada dibayar terus dalam Exit and Entry System (EES) menggunakan kad debit atau kad kredit atau secara perbankan atas talian (online) yang disediakan oleh bank-bank tempatan atau pembayaran secara wang tunai melalui kaunter BIBD.

“Selepas membuat pembayaran menerusi kaunter atau online, pemohon hendaklah log masuk semula ke dalam EES bagi mendapatkan kod QR untuk diimbas di pos-pos kawalan darat yang berkenaan,” ujarnya.

Haji Muhsin turut menyatakan jerayawara itu dihasratkan untuk memberigakan mengenai prosedur dan tatacara yang perlu dibuat dalam menggunakan EES dengan mudah.

Menerusi pemberigaan itu, jelasnya, akan membolehkan orang ramai merancang perjalanan mereka dengan lebih teratur. Terdahulu jawapan bagi persoalan yang dikemukakan semasa jerayawara itu dikendalikan oleh Setiausaha Tetap (Prestasi dan Korporat), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dayang Suraya binti Haji Jaidin; Haji Muhsin; Penolong Pengawal Kastam, JKED, Dayang Khairul Bariah binti Ahmad; dan Pemangku Penolong Pengawal Kastam, JKED, Dayang Nurul Hayyadatul Amra binti Abu Bakar.

Penghulu dan ketua kampung diberikan tunjuk cara mengenai penggunaan Sistem EES secara atas talian semasa jerayawara berkenaan.