Capai 10% tenaga boleh diperbaharui menjelang 2035

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Negara Brunei Darussalam bermatlamat untuk mencapai sekurang-kurangnya 10 peratus tenaga boleh diperbaharui dalam campuran penjanaan kuasa menjelang 2035.

Walaupun ia sesuatu yang sukar tetapi Brunei berharap untuk mencapai matlamat berkenaan menerusi pembangunan kapasiti berterusan dalam projek perkembangan tenaga boleh diperbaharui.

Dengan mengambil kira beberapa faktor, Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian berharap dapat bekerjasama rapat dengan pihak-pihak yang berkepentingan serta rakan BIMP-EAGA untuk mencapai sasaran negara, jelas Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Perindustrian) di Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab (gambar bawah) pada Perasmian Mesyuarat Kluster Jana Kuasa dan Infrastruktur Tenaga (PEIC) BIMP-EAGA ke-7 di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Hajah Tutiaty merakamkan perasaan gembira dengan perkembangan baik projek-projek kesalinghubungan jana kuasa merentas sempadan di mana PEIC merupakan salah satu kluster utama dalam meningkatkan kesalinghubungan antara BIMP-EAGA.

Beliau menyatakan bahawa potensi tenaga yang boleh diperbaharui termasuk tenaga suria masih belum lagi digunakan secara meluas di rantau BIMP-EAGA dan yakin bahawa sudah tiba masanya untuk melihat kepada sumber-sumber tenaga alternatif dan tidak terus bergantung pada sumber tenaga konvensional.

Oleh itu, penggubalan dasar inovatif untuk menjana persekitaran yang membolehkan kemasukan teknologi boleh diperbaharui ke dalam pasaran Negara Brunei Darussalam juga amat diperlukan dan untuk memastikan bahawa usaha yang diambil adalah efektif, perubahan minda mengenai kesan positif teknologi boleh diperbaharui perlu ditanam dalam kalangan masyarakat awam.

Mesyuarat yang dihoskan oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian itu dihadiri oleh lebih daripada 60 orang dari negara-negara anggota BIMP-EAGA dengan mesyuarat dipengerusikan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Awang Abdul Aziz bin Abdullah.

Mesyuarat membincangkan mengenai perkembangan terkini bagi projek-projek PEIC BIMP-EAGA bagi tahun kewangan 2018/2019 yang memberikan kepada empat keutamaan strategik iaitu untuk membangunkan pendekatan yang akan meningkatkan penglibatan kerajaan setempat dan sektor swasta dan utiliti jana kuasa, menyediakan persekitaran kondusif bagi menggalakkan pelaburan berkaitan tenaga oleh kerajaan, meningkatkan kerjasama dan mengukuhkan pelaksanaan pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan meningkatkan akses tenaga di kawasan-kawasan pedalaman serta mempromosikan penjimatan dan penggunaan tenaga secara efisien.

Terdahulu sebelum mesyuarat berkenaan, sebuah bengkel bertajuk Solar PV Levelized Cost of Electricity telah diadakan kelmarin yang dikendalikan oleh pakar daripada International Renewable Energy Agency (IRENA), Carlos Ruzi dan Juan Gabriel Castellanos.

Bengkel bermatlamat untuk menyediakan platform bagi menilai dan berkongsi cabaran yang dihadapi oleh projek-projek tenaga yang boleh diperbaharui serta aplikasi peralatan pembangunan projek tenaga boleh diperbaharui.

Semasa bengkel itu, Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga dan Kuasa Elektrik), Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra dalam kata alu-aluannya menyeru para peserta bengkel untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk belajar daripada pakar-pakar IRENA.

Beliau berkata bahawa sumber tenaga suria di rantau BIMP-EAGA terus kurang diterokai dan berharap menerusi bengkel itu, ia akan menggalakkan pelaksanaan dan pembangunan projek tenaga suria di dalam rantau kecil berkenaan.

Bengkel tersebut telah dihadiri oleh seramai 35 orang peserta dari empat buah negara anggota BIMP-EAGA dan juga syarikat serta organisasi dalam negara dan serantau termasuk pelbagai agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, operasi minyak dan gas Brunei, badan-badan berkanun yang relevan serta Majlis Perniagaan BIMP-EAGA Brunei Darussalam.