Gambar oleh Infofoto
JAKARTA, REPUBLIK INDONESIA, 25 APRIL – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama para pemimpin negara-negara ASEAN lainnya telah mencapai lima kata sepakat mengenai situasi di Myanmar semasa Mesyuarat Pemimpin-pemimpin ASEAN yang berlangsung di Bali Room, Bangunan Sekretariat ASEAN, Jakarta, Republik Indonesia, kelmarin.
Baginda berkenan mengurniakan titah semasa mempengerusikan mesyuarat itu menekankan negara-negara anggota ASEAN sentiasa mengikuti perkembangan di Myanmar dan pada masa yang sama menghormati tujuan-tujuan dan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Piagam ASEAN.
Baginda menekankan kestabilan serantau adalah penting bagi keama-nan dan kemakmuran yang lebih bermakna untuk rakyat ASEAN.
Ke arah itu, Baginda mengambil maklum mengenai hasil Mesyuarat Informal Menteri-menteri Luar ASEAN yang berlangsung baru-baru ini, yang menggesa semua pihak untuk memberhentikan keganasan melampau dan mencari jalan penyelesaian secara aman di Myanmar serta meneruskan usaha-usaha berkaitan di Rakhine State.
Sehubungan itu, negara-negara anggota bersedia untuk membantu Myanmar melalui mekanisme ASEAN dengan pihak pengerusi ASEAN dan setiausaha agung ASEAN sebagai perantaraan bagi semua yang terlibat, berdasarkan kepada sejarah dan pengalaman terdahulu ASEAN dalam membantu Myanmar.
Dalam pada itu, pemimpin-pemimpin negara ASEAN telah mencapai lima kata sepakat yang termasuk menghentikan serta-merta keganasan di Myanmar dan semua pihak mengambil langkah untuk bertenang; dialog konstruktif antara semua pihak yang berkenaan akan dimulakan untuk mencari jalan penyelesaian damai demi kepentingan rakyat; duta khas pengerusi ASEAN akan memudahkan perantaraan proses dialog dengan bantuan setiausaha agung ASEAN; ASEAN akan memberikan bantuan kemanusiaan melalui Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA); dan duta khas dan delegasi akan melawat Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak yang berkenaan.
Sementara itu, Baginda turut menyentuh mengenai usaha untuk membaik pulih keadaan daripada pandemik COVID-19 serta menangani perkembangan serantau, di mana ia adalah waktu yang penting bagi ASEAN untuk memajukan pembinaan Komuniti ASEAN.
Baginda seterusnya menzahirkan penghargaan atas sokongan negara-negara anggota ASEAN kepada Negara Brunei Darussalam sebagai pengerusi ASEAN bagi tahun ini, di bawah tema ‘We Care, We Prepare, We Prosper’.
Selain itu, Baginda juga menzahirkan sokongan bagi penyediaan vaksin kepada penduduk-penduduk ASEAN melalui dana daripada COVID-19 ASEAN Response Fund.
Dalam menghadapi ketidaktentuan masa hadapan, Baginda seterusnya menekankan kepentingan bagi ASEAN untuk mengukuhkan kesepaduan dan Centrality melalui usaha-usaha yang memfokuskan kepada rakyat dengan mengutamakan golongan belia bagi memupuk rasa kebersamaan terhadap Komuniti ASEAN.
Mengenai hal ehwal luar, Baginda bertitah, ASEAN perlu meneruskan untuk mengambil pendekatan proaktif dan juga dapat dilihat sebagai peneraju proses, termasuk mengadakan mesyuarat-mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN bersama Republik Rakyat China dan Amerika Syarikat.
Di samping itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga mengalu-alukan cadangan Sekretariat ASEAN untuk menerima permohonan United Kingdom bagi menjadi rakan dialog ASEAN, dan mencadangkan untuk membantu United Kingdom bagi menjadi rakan dialog pada Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN ke-54.
Pada penghujung titah, Baginda melahirkan penghargaan kepada negara-negara anggota dalam memberikan komen-komen membina, sumbangan positif dan idea-idea dalam hal tersebut. Baginda juga berharap agar semangat kerjasama rapat dan penyelarasan di antara negara-negara anggota ASEAN akan dapat diteruskan dalam menangani cabaran-cabaran sebagai sebuah keluarga dalam ASEAN.
Selepas mesyuarat tersebut, satu Kenyataan Pengerusi mengenai Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin ASEAN telah dikeluarkan.
Mesyuarat Pemimpin-pemimpin ASEAN ini adalah merupakan satu pencapaian signifikan bagi ASEAN kerana ianya diadakan di Sekretariat ASEAN buat julung kalinya, sejak penubuhan ASEAN pada 8 Ogos 1967.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Baginda Sultan kemudian berkenan berangkat balik meninggalkan Jakarta, Republik Indonesia setelah selesai mempengerusikan mesyuarat tersebut.
Sebelum berangkat meninggalkan hotel persemayaman, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.