Sunday, March 16, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Capai ekonomi dinamik, berdaya tahan

    Oleh Sim Y. H. & Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Dalam menangani pelbagai cabaran termasuk pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang belum stabil berbanding dengan negara-negara jiran, kadar pengangguran yang tinggi dan eksport daripada sektor bukan minyak dan gas yang masih rendah, Rangka Tindakan Ekonomi Brunei Darussalam bagi tempoh 15 tahun iaitu 2020 hingga 2035 akan diterbitkan.

    Rangka tindakan ekonomi itu merupakan satu pelan hala tuju perancangan ekonomi negara yang akan melengkapkan usaha-usaha untuk mencapai Wawasan Brunei 2035 khususnya matlamat ketiga iaitu ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.

    Penerbitan rangka tindakan ekonomi berkenaan dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah ketika membentangkan Kertas Cadangan Rang Undang-undang (2020) Perbekalan 2020/2021 pada hari ketiga permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

    “Penyediaan rangka tindakan ekonomi ini akan dibuat secara komprehensif dengan mengambil kira inisiatif-inisiatif dan perancangan-perancangan lain yang sedia ada termasuk daripada Autoriti Monetari Brunei Darussalam Financial Sector Blueprint, ASEAN Economic Community Blueprint 2025, pelan-pelan strategik kementerian-kementerian dan sebagainya.”

    Terdahulu dalam pembentangannya, Yang Berhormat Dato mengongsi mengenai kedudukan fiskal kerajaan bagi Tahun Kewangan 2018/2019 di mana kutipan hasil pendapatan kerajaan meningkat sebanyak 55.7 peratus kepada $6,027.26 juta, berbanding $3,872.27 juta pada Tahun Kewangan 2017/2018.

    “Ini adalah disebabkan oleh peningkatan hasil daripada sektor minyak dan gas sebanyak 63.8 peratus kepada $4,873.37 juta berbanding dengan $2,975.73 juta pada Tahun Kewangan 2017/2018. Kutipan hasil daripada sektor bukan minyak dan gas juga meningkat sebanyak 28.7 peratus, kepada sejumlah $1,153.89 juta berbanding dengan $896.54 juta pada Tahun Kewangan 2017/2018.

    “Manakala, perbelanjaan kerajaan bagi Tahun Kewangan 2018/2019, berkurangan sebanyak 1.32 peratus kepada $5,999.34 juta berbanding dengan $6,079.29 juta pada Tahun Kewangan 2017/2018.”

    Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa berikutan dengan peningkatan hasil pendapatan dan penurunan perbelanjaan kerajaan bagi Tahun Kewangan 2018/2019, negara telah merekodkan lebihan belanjawan (budget surplus) berjumlah $27.92 juta berbanding dengan defisit belanjawan dalam Tahun Kewangan 2017/2018 sebanyak $2,207.02 juta.

    Bagi Tahun Kewangan 2019/2020 pula, sehingga 29 Februari 2020, kutipan hasil pendapatan kerajaan dianggarkan berjumlah $3,453.94 juta di mana kira-kira $2,787.79 juta adalah daripada sektor minyak dan gas dan $666.15 juta daripada sektor bukan minyak dan gas.

    Manakala itu, Yang Berhormat Dato membentangkan bahawa perbelanjaan kerajaan adalah sebanyak $4,923.80 juta yang telah merekodkan defisit belanjawan sebanyak $1,469.86 juta disebabkan oleh penurunan kutipan hasil daripada sektor minyak dan gas sebanyak $779.89 juta.

    Manakala itu, dalam usaha kerajaan untuk mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi negara, inisiatif-inisiatif bagi mencapai keseimbangan belanjawan (balanced budget) perlu diteruskan.

    “Ini adalah kerana hasil kerajaan kurang kolerasi (less correlated) dengan pertumbuhan KDNK, tidak seperti negara-negara lain yang mempunyai sumber hasil yang lebih pelbagai (diversified) seperti daripada cukai pendapatan (income tax), Goods and Services Tax (GST), Property Tax dan lain-lain, yang mana jika pertumbuhan KDNK meningkat, hasil kepada pendapatan kerajaan di negara-negara tersebut juga akan meningkat.”

    Oleh yang demikian, tambahnya lagi, kerajaan akan terus melaksanakan inisiatif di bawah Program Fiscal Consolidation yang telah mula diperkenalkan kepada kementerian- kementerian pada Tahun Kewangan 2018/2019 di mana program itu bukan sahaja merupakan program one-off tetapi ia merupakan program yang perlu dilaksanakan secara berterusan.

    “Hasil pencapaian setiap inisiatif yang dirancang atau yang telah mula dilaksanakan oleh kementerian-kementerian mungkin hanya akan memberikan impak kepada kedudukan fiskal pada beberapa tahun yang akan datang.

    “Setakat ini, melalui inisiatif di bawah Program Fiscal Consolidation, beberapa projek dalam perancangan adalah antara lainnya pengkorporatan beberapa jabatan kerajaan seperti Jabatan Percetakan Kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Pos serta penswastaan penuh fungsi perkhidmatan pilotage kapal-kapal yang masuk ke Pelabuhan Muara di bawah Darussalam Pilotage Services.”

    Di samping itu, Yang Berhormat Dato menyatakan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi penubuhan Syarikat P Cube Sendirian Berhad (P Cube) pada 14 Mei 2019 sebagai anak syarikat di bawah Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB), untuk meneliti cadangan-cadangan projek Public Private Partnership (PPP) termasuk melaksanakan pengurusan projek atau aset kerajaan yang berpotensi untuk menggunakan kaedah PPP.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda