Capai standard kembangkan PMKS

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Usaha terus dilaksanakan untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan untuk mengembangkan lagi perusahaan mereka di mana produk serta perkhidmatan yang ditawarkan bukan sahaja bagi pasaran tempatan tetapi juga untuk dieksport atau menerokai pasaran luar negara.

Dalam hubungan itu, PMKS tempatan khususnya perusahaan yang dikendalikan oleh golongan belia, harus meletakkan keutamaan kepada pencapaian standard yang mana standard itu direka untuk memastikan syarikat-syarikat memenuhi keperluan minimum untuk menjadi bahagian penting dalam hampir semua industri daripada industri makanan, kosmetik dan penjagaan kesihatan.

Bagi PMKS, standard dapat membantu mereka untuk membina kepercayaan atau keyakinan pelanggan bahawa produk yang mereka hasilkan adalah selamat serta terjamin, memenuhi keperluan peraturan, mengurangkan kos bagi semua aspek perniagaan mereka serta untuk mendapatkan akses kepada pasaran di serata dunia.

Sering kali sebilangan besar PMKS tidak bercadang untuk melaksanakan standard sebagai satu keutamaan kerana mereka tidak melihat signifikannya atau mereka mendapati harga untuk melaksanakan standard berkenaan adalah tinggi.

Perkara itu antara yang disentuh oleh Pegawai Eksekutif Darussalam Enterprise (DARe), Dayang Syazwana Wan Ali ketika menyampaikan ceramah mengenai Program Konsultasi Standard yang berlangsung di Auditorium Bengkel, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Taman Teknologi Anggerek Desa, hari ini.

Dayang Nurellia mengongsi pengalaman Globex Global Logistics sebagai salah sebuah syarikat yang menyertai Program Konsultasi Standard DARe.
Wakil-wakil perusahaan tempatan memberikan tumpuan kepada penerangan yang diberikan semasa sesi taklimat yang berlangsung di Auditorium Bengkel, Bangunan Reka Bentuk & Teknologi, Taman Teknologi Anggerek Desa, kelmarin.

Sesi taklimat yang mengongsi maklumat mengenai dengan dua inisiatif baharu yang dilaksanakan oleh DARe, iaitu Program Konsultasi Standards dan Skim Co-Matching, itu disertai oleh wakil daripada lebih 30 buah perusahaan tempatan.

Dalam taklimatnya lagi, Dayang Syazwana menerangkan DARe memperkenalkan inisiatif baharu pada September 2018 iaitu Program Konsultasi Standard di mana DARe mengendalikan lebih banyak latihan berhubungan dengan standard menerusi inisiatif sedia ada iaitu Akademi Perniagaan Industri (IBA) untuk meningkatkan kesedaran mengenai standard.

Beliau menambah lagi, standard antarabangsa dihasratkan untuk menjadikan kehidupan lebih mudah, selamat dan baik dengan memudahkan perdagangan global, memandu pertumbuhan ekonomi, melindungi kesihatan dan keselamatan, memastikan kualiti, menyokong inovasi serta mempromosikan pertumbuhan mampan.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif DARe, Awangku Ahmad Najib memberikan penerangan mengenai Skim Co-Matching DARe yang merupakan inisiatif bantuan kewangan bagi PMKS dan koperasi untuk menggalakkan pertumbuhan mereka menerusi perkongsian kos dan tanggungjawab pelaburan.

Di bawah skim berkenaan, perusahaan akan melaburkan sebanyak 30 peratus daripada jumlah kos projek manakala DARe akan membiayai sebanyak 70 peratus daripada kos keseluruhan sehingga jumlah maksimum sebanyak $20,000.

Semasa sesi taklimat berkenaan, Globex Global Logistics yang diwakili oleh Pengawal Kewangan, Dayang Nurellia Matzin mengongsi mengenai pengalaman syarikat berkenaan sebagai salah sebuah syarikat yang menyertai Program Konsultasi Standard DARe.

Beliau menyatakan bahawa menerusi program berkenaan mereka dapat menyelaraskan matlamat syarikat berkenaan serta memberikan hala tuju yang lebih jelas pada kakitangan mereka untuk mencapai matlamat utama iaitu memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan dan membina keyakinan pelanggan terhadap syarikat mereka.