Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Capai status takwa di bulan Ramadan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Majlis Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) diteruskan lagi malam tadi bagi minggu ke-28 yang melibatkan warga Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN).

    Sebanyak 69 buah masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara juga mengikuti majlis secara maya berkenaan.

    Menyertai acara kali ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong yang seterusnya memulakan acara dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah secara maya dari Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis Madang.

    Ini diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai serta Doa Munajat bagi memohon keampunan daripada Allah SWT dan terhindar daripada bala bencana serta penyakit berbahaya.

    Kemudian, tazkirah bertajuk ‘La’allakum Tattaqun’ disampaikan oleh Dekan Fakulti Syariah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr Haji Noralizam bin Haji Aliakbar secara maya dari Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Kampung Mulaut.

    Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri antara yang menyertai Majlis Malam Munajat ke-28 itu.

    Beliau memulakan tazkirah dengan mengongsikan ayat 183 daripada Surah Al-Baqarah di mana daripada ayat itu, Allah SWT menegaskan kepada umat Islam bahawa tujuan utama berpuasa itu adalah la‘allakum tattaqun, supaya kita mencapai status takwa.

    “Kalau kita perhatikan, setiap amalan yang ada pada bulan Ramadan adalah bertujuan untuk meraih takwa. Dalam Al-Quran, takwa ini dianggap sebagai ukuran kemuliaan manusia yang sebenar,” ujar beliau yang seterusnya menghuraikan lebih lanjut mengenai konsep takwa.

    Beliau berkata, takwa itu tidak ada maknanya jika hanya difahami dalam ruang lingkup yang sempit tanpa diaplikasikan dalam kehidupan seharian, kerana takwa adalah pengukur tingkatan kerohanian seorang Muslim.

    Orang yang mengaplikasikan takwa dalam kehidupannya seharian adalah orang yang paling tinggi nilai integritinya, ujar beliau.

    Selesai tazkirah, acara diteruskan dengan bacaan Asma’ul Husna dan Selawat beramai-ramai dan diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...