CAPE TOWN – Cape Town kini mengalami kemarau yang paling teruk dalam satu abad, di mana para penduduk telah diberitahu untuk mengurangkan masa pancuran mandi mereka kepada hanya dua minit dan mengepam mangkuk tandas mereka hanya apabila ‘benar-benar diperlukan’.
Bandar ini – pusat pelancongan terbesar di Afrika Selatan – dan sekitar wilayah Western Cape telah diisytiharkan sebagai sebuah kawasan bencana oleh kerajaan tempatan, dengan hanya memilik 10 peratus air yang terdapat di kawasan empangan di kawasan tersebut.
Dua jam dari bandar, Empangan Theewaterskloof, sumber utama air bagi Cape Town, telah menjadi sebuah padang pasir yang rata dan sisa-sisa kawasan dusun yang pernah membanjiri empangan yang dibina pada tahun 1970-an itu kini nampak kelihatan kering di bawah terik matahari.
Di sebuah kelab sukan air tempatan, tambatan kapal kini dapat dilihat yang mana dahulunya terapung.
“Saya telah bekerja di sini selama lebih kurang 20 tahun dan saya tidak pernah melihat empangan ini terlalu kering,” kata setiausaha kelab, Lise Wheeler kepada AFP.


Bagi penduduk Cape Town, musim kemarau telah membawa kepada pelbagai sekatan, dari mengehadkan pancuran air di kolam-kolam awam pada awal tahun ini sehinggalah kepada pengharaman penggunaan sepenuhnya pada masa ini bagi kolam-kolam renang dan taman air.
Sekatan terbaru itu mengehadkan penggunaan air bagi para penduduk di sana kepada 100 liter (22 Imperial, 26 gelen AS) untuk seorang sehari dan sekatan itu digunakan selain memasak, minum dan keperluan kebersihan.
Baru-baru ini, Virgin Active, seorang pengendali sebuah kelab kesihatan, berkata ia akan menutup bilik-bilik sauna dan wap di gim-gim di seluruh wilayah itu.
“Strategi terbaik untuk menguruskan kemarau secara berkesan adalah untuk menguruskan permintaan, seperti apa yang kami lakukan ini,” kata ahli dewan bandar, Xanthea Limberg kepada AFP.
Pada awal tahun ini, bandar itu telah menyiarkan senarai-senarai ‘nama-dan-malu’ bagi pesalah penggunaan air yang teruk di Cape Town, dan menyatakan bahawa ia telah mengeluarkan denda dan notis untuk datang ke mahkamah.
Tetapi para pegawai sendiri telah menghadapi kritikan kerana gagal menerapkan sekatan penggunaan itu lebih awal, dan telah dituduh mengabaikan amaran dan peringatan oleh para pakar pada tahun-tahun sebelumnya musim kemarau.
Sesetengah warga Cape Town telah membuat persediaan untuk mengumpul air mereka dari sebuah mata air semulajadi di luar kilang minuman di bandar itu. Ramai yang percaya bahawa tahap air di empangan di sana begitu rendah, dan kualiti air paip juga telah menurun – sebuah khabar angin menyatakan bahawa bandar itu telah menghadapi masalah air selama berbulan-bulan.
“Ini adalah satu-satunya sumber air minuman yang boleh saya perolehi,” kata seorang penduduk kepada AFP.


Saintis iklim di Universiti Cape Town, Peter Johnston berkata, para pegawainya juga menghadapi masalah jangka panjang.
“Apa yang kami alami bahawa selama tiga musim berturut-turut, turunan hujan di sini sangat rendah, dan itu hanya akan berlaku sakali dalam seratus tahun,” kata Johnston kepada AFP.
Hujan musim panas yang lebat telah banyak berlaku di kawasan Afrika Selatan selepas pulih daripada kemarau panjang yang disebabkan oleh El Nino. Tetapi kawasan Mediterranean seperti Cape Town, telah menerima kebanyakan turunan hujannya pada musim sejuk dari hemisfera selatan – dan para saintis memperingatkan bahawa tiada jaminan untuk mendapatkan musim hujan yang sangat baik.
“Sekalipun kita mendapat musim sejuk yang basah, tahap empangan ini hanya akan naik sekitar 40 hingga 50 peratus,” kata Johnston.
“Sekiranya kita mendapat hujan yang kerap, kita masih akan berada dalam kedudukan yang sama pada tahun ini dan tahun hadapan. Itu sangat menakutkan.”
Ramai model iklim menunjukkan cuaca panas dan kering di Western Cape, dengan sistem tekanan yang sangat tinggi, akan menghalangi arus kederasan hujan yang lebih kerap.
“Ini bermakna walaupun situasi itu tetap sama dari segi saiz penduduk dan penggunaan air, suasana kering dan kurangnya turunan hujan dari langit akan membelenggu jangka masa depan di sini,” kata Johnston.
Ini bermaksud bahawa Cape Town perlu mencari sumber airnya di tempat lain. Dalam jangka masa pendek, usaha mengitar semula air yang telah digunakan dan penggerudian akuifer telah dijalankan di sebuah gunung berdekatan iaitu di Table Mountain. Bandar itu juga sedang mengkaji bagi mempercepatkan rancangan untuk pembinaan dua buah tapak penyahgaraman, satu langkah yang pernah diguna pakai oleh beberapa bandar yang mengalami cuaca kering di rantau itu.
“Sekatan-sekatan akan menjadi realiti dalam jangka masa hadapan,” kata Limberg. – AFP