Caprice kini diburu Interpol?

Penyanyi rap dan aktivis sensasi, Caprice, 33, mengesahkan dia sudah memberi keterangan kepada pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju berhubung laporan yang dibuat oleh seorang pendakwah terkenal terhadapnya.

Caprice atau nama sebenar, Ariz Ramli menerusi perkongsian di Instagram, turut menjelaskan kes ini tidak membabitkan Polis Antarabangsa (Interpol) seperti yang dilaporkan sebelum ini.

“Salam semua, pagi tadi Inspektor dari IPD Wangsa Maju akhirnya mengirim mesej di WhatsApp dan hubungi saya juga. Sebenarnya Interpol tak cari saya pun. Tapi, ia menjadi tajuk utama di semua media dan buat nampak macam ada kes luar biasa sampai orang komen-komen macam kita ini hilang atau lari.

“Alhamdulillah semua okay, tiada kes jenayah pun yang dibuka. IPD Wangsa Maju hanya nak minta statement (kenyataan),” tulisnya.

Caprice mengakui dia sudah melalui banyak perkara pelik sejak tiba di Mesir.

Caprice memberitahu akan pulang ke Malaysia. – Agensi

“Apabila saya baca berita pasal Interpol, komen-komen di media sosial, dan terima banyak panggilan dari KL yang tengah risau, benda itu buat kita lagi risau dan fikir bukan-bukan,” katanya.

Namun, dia turut berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memberikan penjelasan dengan profesional, selain berterima kasih kepada rakan-rakan di PDRM yang mengingatkannya berkenaan keselamatan.

“Insya Alah, selepas saya dah berjaya selesaikan, kita akan selamat sampai Malaysia,” katanya.

Terdahulu, dilaporkan PDRM memohon bantuan pihak Interpol untuk mengesan Caprice dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, tindakan itu diambil selepas polis gagal mendapatkan maklum balas daripada kedua-duanya berhubung tarikh untuk merakam percakapan mereka. – Agensi