Boleh dikatakan setiap gerak-geri penyanyi rap popular tanah air, Caprice sentiasa diperhatikan orang ramai dan kini apabila telah berumahtangga pastinya isterinya pula menjadi perhatian warganet di media sosial.
Menerusi perkongsiannya di Instagram, isterinya Farra Inalis Hussni atau lebih dikenali sebagai Elis kini terlantar di hospital kerana berkemungkinan mengalami tekanan.
Menurut Caprice setelah isterinya berkahwin dengannya, suri hati penyanyi rap tersebut hilang ruang peribadi dan sering diserang warganet di media sosial atas alasan terlalu seksi dan akhirnya jatuh sakit.
“Saya betul-betul menyalahkan diri saya untuk semua ini.
“Semenjak berkahwin, isteri saya telah hilang ruang peribadi dia dan sering diserang kerana seksi.
“Mungkin sebab tertekan dan tekanan menjadi-jadi, isteri saya akhirnya jatuh sakit.
“Jangan serang dia, serang saya saja. Saya yang ‘berjihad’, yang bina aplikasi untuk ummah, lawan untuk Baitulmaqdis dan saya adalah imam untuk masjid saya.
“Kalau ada sesiapa yang gagal, orang itu adalah saya. Lepaskan pada saya, tolong bukan keluarga saya,” luahnya.
Melihat perkongsian Caprice di Instagram, rakan selebriti dan peminat mendoakan agar isteri penyanyi rap tersebut segera sembuh dan menitip pesan agar penyanyi tersebut kekal kuat. – Agensi