Captain America buat kemunculan semula?

Khabarnya pelakon Hollywood Chris Evans bakal kembali berlakon sebagai Captain America menerusi Marvel Cinematic Universe (MCU).

Menurut sumber, Deadline melaporkan bahawa perbincangan sedang dibuat untuk membawa Evans kembali sebagai Steve Rogers atau lebih popular – Captain America dalam projek Marvel tidak lama lagi.

Selepas filem Avengers: Endgame pada 2019, Evans berkata filem berkenaan adalah kali terakhir dia beraksi sebagai Captain America dan ‘perjuangannya’ akan diteruskan melalui siri TV untuk Disney+ iaitu Falcon & Winter Soldier.

Bagaimanapun sama ada Evans, Marvel mahupun Disney masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai projek terbaharu ini.

Menerusi ciapan di Twitter, Evans berkata spekulasi berkenaan adalah ‘berita’ baginya.

Hingga kini masih belum dapat dipastikan status perbincangan mengenainya namun sumber dalaman menyatakan bahawa usaha untuk membawa Evans kembali sebagai Steve Rogers bukan menerusi filem khusus membabitkan Captain America.

Sumber itu menambah perbincangan lebih cenderung ke arah menjadikan Captain America muncul sebagai watak cameo seperti yang pernah dilakukan Robert Downey Jr menerusi Iron Man 3, ketika ia muncul dalam filem Captain America: Civil War dan Spider-Man: Homecoming. Perkembangan ini sudah tentu menarik perhatian penonton selepas Avengers: End Game menganggap watak Captain America sudah mati. – Agensi

Dikhabarkan pelakon Hollywood, Chris Evans bakal kembali berlakon sebagai Captain America namun Evans dan pihak produksi masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai projek terbaharu ini. – Agensi