Cara Balotelli menjengkelkan – Herelle

NICE, Perancis, 14 Mac – Cara Mario Balotelli meraikan jaringan sekali lagi menjadi tumpuan selepas Balotelli menjaringkan gol kemenangan ke atas bekas kelabnya Nice yang berakhir dengan keputusan 1-0 tetapi ada pemain yang tidak begitu suka dengan caranya itu.

Seminggu selepas meraikan gol dengan cara memuat naik rakaman video ke Instagram ketika menentang Saint-Etienne, Balotelli bermain ‘batu, kertas, gunting’ dengan Florian Thauvin selepas meledak gol kemenangan pada minit ke-61 dalam aksi pertamanya menentang Nice yang mana Balotelli meninggalkan kelab itu pada Januari lalu selepas gagal menjaringkan gol sepanjang musim.

Pemain pertahanan Nice, Christophe Herelle menjelaskan bahawa cara Balotelli itu sangat menjengkelkan.

“Dia tidak menjaringkan satu gol dalam tempoh enam bulan dan saya melihat dia bersikap tidak sama seperti sebelum ini. Anda perlu menghormati kelab, orang ramai dan peminat,” menurut Herelle.

Pada babak pertama perlawanan, pemain berusia 28 tahun itu dirakam oleh Canal Plus yang menunjukkan dia bertikam lidah dengan bekas rakan sepasukannya yang mana sebelum ini hubungan mereka agak tegang semasa tempohnya di Nice.

“Dia memberitahu kami, dia tidak mahu (pengurus Nice) Patrick Vieira keluar sama seperti dia. Saya beritahu dia untuk tutup mulut,” kata Herelle.

Gol kemenangan Balotelli pada Ahad lalu menjadikan jumlah jaringannya menjadi lima gol daripada tujuh perlawanan sejak tiba di Marseille dan skuad kendalian Rudi Garcia melalui tempoh yang sukar selepas tersingkir daripada Piala Perancis oleh Andrezieux dan berada di tangga tercorot dalam saingan Kumpulan Liga Europa. – AFP