Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 3 Mei – Kira-kira 40 orang terdiri daripada para pegawai masjid Daerah Belait dan pengapai lelaki dan wanita Daerah Belait telah menyertai Taklimat Pengendalian Jenazah bagi jenazah yang dijangkiti penyakit HIV/AIDS yang berlangsung di Masjid Pekan Seria di sini, hari ini.
Taklimat tersebut merupakan usaha Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, yang bertujuan untuk menyampaikan maklumat kepada para pengapai khususnya pegawai-pegawai masjid dalam menyempurnakan jenazah yang menghidap penyakit HIV/AIDS.
Ia juga untuk memberikan pendedahan mengenai penyakit HIV/AIDS dan kepentingan penggunaan alat pelindung diri (APD), serta menunjukkan teknik menggunakan dan melepaskan APD seperti sarung tangan dan sebagainya semasa menguruskan jenazah yang menumpukan kepada keselamatan para pengapai.
Tunjuk cara penggunaan APD telah disampaikan oleh dua orang pegawai dari Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, manakala taklimat mengenai penyakit HIV/AIDS disampaikan oleh Pegawai Perubatan Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Martina binti Dato Haji Kifrawi.


Taklimat seumpamanya telah diadakan pada Sabtu lalu di masjid utama Daerah Brunei dan Muara, Masjid Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, manakala di Daerah Temburong, ia diadakan di masjid utama daerah tersebut pada Khamis lalu, yang mana ia dihasratkan untuk menyegarkan semula kefahaman para pengapai yang lama dan memberikan pengetahuan kepada yang baru, serta untuk menyarankan kepentingan penggunaan APD semasa mengendalikan jenazah.
Selain itu, taklimat berkenaan adalah juga diharapkan untuk meningkatkan kefahaman serta pengetahuan mereka yang terbabit tentang jangkitan penyakit HIV/AIDS dan sebagainya.