Cara Delevinge melabur dalam bidang hartanah

Model Cara Delevingne dilaporkan menjana jutaan ringgit hasil pelaburan dalam hartanah London, United Kingdom.

Cara, 27, sedang melaburkan wangnya dengan bijak dalam hartanah mewah di beberapa kawasan terkaya di kota London, sebagai pengarah syarikat hartanah ayahnya, Charles. Cara terkenal dengan akal bijaknya yang melaburkan kekayaan sebanyak £21 juta (RM112 juta) melalui pelbagai cara dan platform.

Pelakon Suicide Squad ini merupakan pengarah empayar hartanah milik keluarga, Harvey White Properties Ltd, bersama dengan kakaknya, Poppy dan Chloe serta ayah mereka.

Dokumen yang diperoleh The Sunday Mirror mendakwa model itu melaburkan dana di enam hartanah di Fulham Road London, dan 11 lagi di Old Brompton Road yang terkenal di Kensington.

Cara juga dilaporkan telah membeli hartanah di Streatham di selatan London.

Sumber turut memberitahu Cara terjebak dalam bidang ini kerana pelaburan jangka panjang yang menjamin masa hadapan.

“Semua orang tahu hartanah adalah pelaburan jangka panjang yang baik dan ini merupakan sebab Cara terjebak dalam bidang ini,” kata sumber tersebut.

Walaupun kini Cara bergelar seorang aktres dan hanya melakukan beberapa kempen fesyen dalam masa setahun, sebahagian besar kekayaannya masih diperoleh daripada kerjayanya sebagai seorang model. – Agensi