Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Cara melontar pancing layang

    Oleh Raz AS

    Pancing layang merupakan sejenis teknik memancing menggunakan umpan tiruan yang dikenali sebagai fly atau umpan layang.

    Teknik ini memerlukan penggunaan joran, reel dan tali yang direka khusus.

    Untuk melontar umpan layang yang sangat ringan ini memerlukan teknik yang sangat berbeza daripada jenis-jenis lontaran yang lain, boleh dikatakan ia lebih susah berbanding teknik-teknik melontar pancing lainnya.

    Umpan layang direka untuk menyerupai serangga, anak ikan atau organisma yang menjadi makanan ikan di alam semula jadi. Beratnya adalah jauh lebih ringan berbanding lure biasa dan kebanyakan umpan konvensional lainnya.

    Umpan layang boleh didapati diperbuat daripada bahan semula jadi seperti rambut atau bulu mahupun pelepah dan juga bahan sintetik yang diikat pada sebentuk mata kail dan diolah untuk menyerupai organisma yang ingin ditiru.

    Berbeza dengan teknik pancing lain, tali layang akan mengheret umpan layang terbang ketika dilontar.
    Umpan layang direka untuk meniru organisma seperti serangga, anak ikan dan krustasea.

    Organisma yang ditiru selalunya adalah daripada jenis serangga, sama ada serangga yang terbang mahupun serangga akuatik, anak ikan dan juga krustasea. Umpan layang ada yang timbul dan juga tenggelam daripada saiz kecil yang hanya beberapa milimeter, yang digunakan untuk memancing spesies air tawar, sehinggalah sepanjang 30sm yang boleh digunakan di kawasan laut

    Untuk memahami teori melontar pancing layang secara amnya, bolehlah dibayangkan di dalam fikiran yang bagi teknik-teknik pancingan lainnya, ketika melontar umpan atau batu ladung akan terbang dan mengheret tali pancing bersamanya, manakala bagi teknik pancing layang pula apa yang dilontar adalah talinya dan tali ini akan mengheret umpan layang bersamanya.

    Di sinilah terlihat perbezaan besar antara pancingan layang dengan teknik pancingan yang lain. Tali layang mempunyai beratnya yang tersendiri yang akan membawa umpan layang terbang membelah udara, manakala bagi teknik pancingan yang lain pula, berat batu ladung ataupun umpan yang diikat pada hujung tali merupakan faktor jauh lontaran.

    Objektif pertama si pemancing dalam penggunaan pancing layangan adalah belajar untuk ‘melentur’ joran atau juga lebih dikenali sebagai loading the rod, dan ‘melibas’ joran dengan cara yang betul.

    Kebanyakan pemancing yang baru belajar menggunakan pancing layangan lebih banyak membuat pergerakan lengan yang berlebihan, seakan-akan wiper kereta, ketika cuba melontar tanpa memanfaatkan kelebihan lenturan jorannya.

    Sebaliknya, bayangkan pergerakan melontar itu adalah seperti pergerakan menukul paku ke dinding, dengan pemegang joran ibarat ‘tukul’. Pergerakan ini pendek, pantas dan berhenti mengejut. Akselerasi semasa membuat pergerakan ini akan melentur (loading) joran dan ketika berhenti ia akan ‘melepaskanya’ (unload), menyebabkan tali terlontar ke hadapan.

    Meskipun pergerakan menukul paku ini merupakan analogi yang boleh digunakan untuk menggambarkan teknik melontar layang, namun hakikatnya pergerakan melontarnya adalah lebih rumit lagi yang mana ia memerlukan pemancing bukan sahaja membuat pergerakan melontar ke hadapan (forward cast) bahkan juga ke belakang (backcast) dengan ciri-ciri pergerakan yang serupa. Sekiranya teknik backcast si pemancing itu kurang sempurna maka dia akan bergelut dengan forward cast.

    Oleh itu adalah penting untuk si pemancing menolehkan kepalanya dan memerhatikan pergerakan backcastnya sendiri. Selain itu si pemancing juga boleh merakam video pergerakannya untuk melihat pergerakannya secara menyeluruh.

    Salah satu teknik lama yang diajarkan kepada pemancing untuk membuat lontaran adalah dengan menggerakkan lengannya seperti metronom berulang-ulang dari posisi jam 10 dan posisi jam 2. Walau bagaimanapun bergantung dengan keadaan padang pancing dan faktor-faktor lain, per gerakan lengan si pemancing mungkin perlu bergerak dalam arah yang berbeza.

    Apa yang penting adalah timing dan ketepatan pergerakan termasuk pengaplikasian kekuatan. Oleh yang demikian untuk menjadi caster yang bagus, si pemancing perlu memahami fizik di sebalik lontaran atau prinsip asas lontaran pancing layang, yang akan membolehkannya membuat lontaran di mana sahaja dalam apa jua keadaan.

    Antara prisinp-prinsip asas itu adalah, pertama hujung tali layang perlulah ada di hujung joran sebelum dapat membuat backcast atau forward cast.

    Kedua, setelah tali bergerak satu-satunya cara untuk ‘melentur’ joran adalah dengan menggerakkan tangan dengan pergerakan yang semakin laju dan berhenti mengejut.

    Ketiga, tali akan terbang ke arah hala tuju hujung joran digerakkan. Dan keempat, semakin jauh jarak pergerakan joran ke belakang dan ke depan semakin kurang tenaga yang diperlukan untuk membuat lontaran.

    Untuk berlatih membuat lontaran adalah disarankan untuk berada di kawasan lapang seperti padang yang diliputi rumput, kerana permukaan yang kasar seperti konkrit dan lain-lain akan boleh menyebabkan tali layangan rosak. Untuk tujuan keselamatan jangan ikatkan umpan layang di hujung tali, ikatkan sekadar bulu untuk berlatih.

    Selain itu sebelum lontaran dibuat, tali seharusnya dikeluarkan dengan banyak dari reel di depan kaki tempat berdiri. Ini berbeza dengan reel lain yang mana tali kemas tergulung di dalam spool.

    Sekiranya ingin membuat lontaran sejauh 30 kaki maka tali haruslah dikeluarkan kira-kira panjang 30 kaki terlebih dahulu. Inilah uniknya pancingan layangan yang mana reelnya hanya akan digunakan untuk menarik ikan atau sebelum berpindah tempat.

    Semasa pergerakan melontar dilakukan, tangan yang tidak dominan, digunakan untuk mengawal tali dengan memegangnya dengan erat pada setiap libasan dilakukan agar joran boleh melentur, dan lepaskan sedikit ketika proses unloading untuk ‘meluncurkan’ tali untuk memanjangkan lagi jumlah tali yang dilontar dan kemudian dipegang erat kembali.

    Ini lebih dikenali sebagai false casting, bukan saja ia membolehkan si pemancing menjauhkan lagi jarak lontarannya bahkan dapat menjangka jarak dan sudut sasaran si pemancing serta menghilangkan sisa air pada tali agar ia timbul di permukaan.

    Sesetengah pemancing layang yang berpengalaman tidak menggalakkan terlalu banyak melakukan false casting, terutama oleh pemancing baharu, ketika berada di padang pancing kerana boleh meningkatkan peluang melakukan kesalahan, oleh itu mereka menyarankan agar false casting dilakukan sebanyak dua ke tiga kali sahaja, lebih baik lagi jika hanya sekali melainkan untuk tujuan membuang sisa air pada tali.

    Sekiranya ingin menjatuhkan umpan layang ke tempat yang sedikit jauh, jika boleh berpindahlah dan dekati tempat tersebut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...