Cara mengetahui perbezaan buzz bait dan spinning bait

Oleh Raz AS

Ikan-ikan pemangsa selalunya akan menyerang hendap anak-anak ikan yang bermain pada permukaan air dari bawah.

Aksi ‘letupan’ kuat yang terhasil daripada serangan itu merupakan pemandangan yang mengasyikkan kepada para pemancing.

Oleh yang demikian tidak hairanlah umpan-umpan tiruan jenis renangan permukaan atau top water lure tetap menjadi pilihan ramai pemancing semenjak sekian lamanya.

Umpan tiruan renangan permukaan adalah apa sahaja jenis umpan tiruan yang digunakan pada bahagian permukaan air. Apabila disebut sahaja top water lure pasti ramai yang terbayangkan umpan tiruan yang timbul dan terapung di permukaan seperti popper, pencil dan lain-lain.

Namun begitu sebenarnya tidak semua top water lure akan terapung di permukaan jika tidak beraksi, ini termasuklah dengan top water lure yang dikenali sebagai buzz bait.

Berbeza daripada spinner bait, kepingan besi yang ada pada buzz bait berbentuk seperti bilah kipas atau propeller. – Agensi
In-line buzz bait dalam bentuk katak tiruan yang dipadankan dengan kipas di depannya. – Agensi

Apakah dia buzz bait itu?

Ramai pemancing yang kurang mengetahui perbezaan antara buzz bait dan spinner bait dan menganggapnya daripada jenis yang sama kerana rupa fizikalnya yang hampir menyerupai satu dengan yang lain.

Buzz bait seperti juga spinner bait adalah sejenis umpan tiruan yang diperbuat daripada dawai berbentuk ‘<’ atau ‘J’ yang pada bahagian atasnya mempunyai kepingan besi manakala bahagian bawahnya pula mata kail yang ditutupi dengan rambu atau skirt yang selalunya diperbuat daripada getah silikon atau benang.

Walau bagaimanapun, perbezaannya kepingan besi yang ada pada buzz bait adalah berbentuk seperti bilah kipas atau propeller, manakala spinner bait pula mempunyai kepingan besi yang berbentuk daun yang leper dan tirus atau lebar seperti sudu.

Daripada segi penggunaannya pula buzz bait digunakan sebagai umpan permukaan manakala spinner bait boleh digunakan di pelbagai peringkat kedalaman air (water column).

Di negara barat buzz bait sangat popular penggunaannya dalam kalangan pemancing ikan bass dan pike terutama di Amerika Syarikat. Apabila umpan ditarik, halangan daripada air akan menyebabkan kipasnya berpusing dan membuatkannya terangkat dan timbul ke permukaan air.

Putaran kipas tersebut bukan sahaja mengangkatnya ke permukaan bahkan akan menghasilkan bunyi dan aksi kucah pada permukaan air yang menarik perhatian ikan pemangsa dari jauh.

Terdapat pelbagai variasi buzz bait yang boleh didapati di pasaran, ada yang dilengkapi dengan dua kipas kecil, ada yang mempunyai kipas yang kompak, ada juga yang mempunyai kipas yang sangat besar.

Malah ada juga yang dibentuk seperti spinner (umpan tiruan yang diperbuat daripada dawai lurus yang mempunyai kepingan besi seperti sudu di depannya dan treble hook di belakangnya) yang dikenali sebagai in-line buzz bait. Di negara ini in-line buzz bait yang selalu kita lihat di pasaran adalah dalam bentuk katak tiruan sama ada soft plastic atau hard bodied yang dipadankan dengan kipas di depannya. Buzz bait sangat sesuai digunakan berhampiran tebing yang mempunyai perairan yang cetek tidak kiralah memancing dari tebing atau menggunakan bot.

Oleh sebab buzz bait mempunyai mata kail tunggal yang dilindungi oleh badan dawainya yang lebar, ia boleh mengelakkannya daripada tersangkut apabila melalui kawasan yang ditumbuhi lalang atau dahan kayu yang ada di air. Ini menjadikannya sebagai pilihan yang baik untuk digunakan di kawasan yang berstruktur seperti jeti, tebing berbatu dan lain-lain.

Teknik penggunaan buzz bait sangat mudah. Mulakan dengan lontaran jauh, apabila umpan mencecah air ia akan mula tenggelam oleh itu kayuhan perlulah dilakukan segera. Tarik buzz bait dengan laju agar ia timbul ke permukaan, setelah ia timbul barulah kayuhan diperlahankan, kipas yang sentiasa berpusing ketika kayuhan dilakukan akan membantunya untuk terapung.

Ada juga pemancing yang menukarkan skirt pada buzz bait dengan umpan soft plastic seperti grub atau paddle tail, ada juga menggunakan skirt tersebut bersama-sama dengan soft plastic. Penggunaan soft plastic yang besar pada buzz bait boleh membantu memberikannya sedikit keapungan untuk mengurangkan kelajuannya tenggelam serta memberikannya aksi tambahan.

Para pemancing bolehlah melakukan eksperimentasi dengan kelajuan kayuhan cepat dan perlahan, atau melakukan aksi stop and go di mana kayuhan dihentikan seketika sebelum disambung semula.

Buzz bait boleh digunakan bersama apa jua jenis set pancing konvensional sama ada spinning, bait casting atau spin cast, namun begitu disyorkan untuk menggunakan set pancing yang mempunyai kekuatan ‘heavy’. Manakala tali sulam atau braided pula merupakan pilihan terbaik kerana ia mempunyai kekuatan yang tinggi dan tidak merenggang.