Cara menjaga kekili agar tahan lama

Ketika penularan wabak COVID-19 ini, aktiviti-aktiviti luar termasuk memancing hendaklah dikawal bagi membendung penularannya.

Dalam waktu begini merupakan masa yang sesuai untuk mengetahui cara-cara melakukan penjagaan dan pemeriksaan pada set pancingan anda seperti joran, fishing reel atau kekili, batu ladung dan sebagainya.

Kekili memancing merupakan salah satu barang pancing yang memiliki harga yang mahal. Justeru, ia memerlukan penjagaan yang sempurna untuk memanjangkan jangka hayatnya. Terdapat beberapa cara untuk menjaga kekili agar dapat bertahan lama.

Jika anda memancing di kawasan yang berpasir, anda haruslah mengelak dari meletakkan kekili anda di atas tanah atau pasir tersebut. Hal ini kerana pasir-pasir itu akan memasuki sistem kekili dan merosakkannya terutamanya bearing atau alas bebola. Sekiranya kekili terjatuh ke atas pasir, sebaiknya anda jangan terus menggunakannya, anda haruslah menyiramnya segera dengan air dan jika kayuhan terasa lancar, bolehlah digunakan seperti biasa.

Ketika anda melakukan aktiviti memancing, sebaiknya anda menggunakan kekili yang sepadan dengan lokasi anda memancing. Sekiranya anda memancing di laut atau di kawasan air masin, gunalah kekili yang dikhususkan untuk kegunaan air masin. Kekili untuk kegunaan air masin lazimnya dilabelkan dengan SW (saltwater).

Jangan biarkan kekili anda berjemur terlalu lama di bawah cahaya terik matahari kerana ia boleh menyebabkan kerosakan pada bahagian-bahagian kekili yang diperbuat daripada bahan plastik. Terutamanya kekili-kekili model klasik yang kebanyakan bahan pembuatannya daripada plastik.

Selepas anda memancing di laut atau air masin, bilas segera kekili anda dengan pancutan air tawar bagi mengelak pembentukan garam terutamanya pada gelendung melalui tali pancing (tali sulam). Penggunaan saiz kekili juga mengambil peranan bagi penjagaannya.

Di mana, anda harus menyesuaikan saiz kekili yang digunakan mengikut sasaran ikan yang hendak ditangkap. Jika tertangkap ikan yang besar sewaktu menggunakan kekili kecil memang seronok tapi ia terdedah kepada kerosakan kepada sistem kekili walaupun ikan berjaya didaratkan.

Sekiranya anda kurang mahir untuk menyelenggarakan kekili, sebaiknya carilah kedai pancing atau pusat servis kekili untuk melakukannya. Ia lebih baik daripada anda melakukannya sendiri terutamanya jika anda memang tidak berkemahiran dari aspek teknikal. Sentiasa bersihkan dan memberikan minyak pada objek berputar dalam sistem kekili seperti gear dan bearing. Jika merasakan kayuhan atau putaran tidak lancar, periksalah bahagian-bahagian tersebut. – Agensi

Gunakan kekili yang sepadan dengan lokasi anda memancing, jika sekiranya di laut atau di kawasan air masin, gunalah kekili yang dikhususkan untuk kegunaan air masin yang lazimnya dilabelkan dengan SW (saltwater). – Agensi
Sentiasa bersihkan dan memberikan minyak pada objek berputar dalam sistem kekili seperti gear dan bearing. – Agensi