Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Bagi memeriahkan lagi sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW, Badan Ugama Islam (BUI), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan majlis ceramah agama yang berlangsung di Surau Polis Gadong, PPDB, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali.
Ceramah bertajuk ‘Cara-cara Memperoleh Syafaat Baginda Rasulullah SAW’ telah disampaikan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Harapandi bin Dahri selaku penceramah undangan.
Ceramah telah menyingkap mengenai peranan umat Islam agar sentiasa mengingati Baginda pada setiap masa dengan memperbanyakkan amalan selawat serta beramal dengan sunnahnya.
Ini sangat penting kerana di padang mahsyar kelak, Rasulullah SAW akan menjadi tumpuan seluruh umat manusia untuk mendapatkan syafaat daripadanya.
Beliau menjelaskan, manusia ketika itu berada dalam kebingungan dan ketakutan, maka, mereka akan mencari orang yang dapat membela mereka di hadapan Allah SWT kelak.