Thursday, April 18, 2024
28.5 C
Brunei

    -

    Cara tangkap dan hidupkan umpan

    Oleh Raz AS

    Untuk menjerat ikan besar dan berkualiti, boleh dikatakan tiada umpan yang lebih berkesan berbanding menggunakan umpan hidup.

    Kadang-kadang, menggunakan umpan hidup boleh menjadi faktor penentu sama ada si pemancing akan beraksi atau pulang dengan berputih mata.

    Namun hakikatnya, untuk mendapatkan umpan hidup ini kadang-kadang mempunyai masalahnya tersendiri yang boleh menjadi penghalang, seperti stok di kedai umpan habis atau terasa berat untuk membelanjakan wang kerana untuk membeli umpan hidup memerlukan perbelanjaan lebih mahal berbanding membeli umpan mati.

    Untuk yang demikian, satu-satunya pilihan yang ada untuk si pemancing itu adalah untuk menangkap sendiri umpan tersebut.

    Tetapi untuk tujuan itu si pemancing perlulah terlebih dahulu mengenal pasti di manakah tempat berkumpulnya ikan-ikan kecil atau krustasea yang boleh ditangkap dan dijadikan umpan.

    Menggunakan jala atau rambat merupakan cara paling pantas untuk mendapatkan umpan. – Agensi
    Ikan-ikan kecil, boleh didapati di kawasan-kawasan yang mempunyai struktur-struktur di dalam air, di mana struktur-struktur ini menjadi tempat persembunyiannya. – Agensi
    Bekas khas seperti rawa atau baldi berlubang yang boleh direndam dalam air merupakan antara pilihan terbaik untuk memasti umpan sentiasa hidup. – Agensi

    Seperti perumpamaan ‘ada udang di sebalik batu’, meskipun makna tersiratnya tidak releven dengan topik ini namun secara zahirnya ia menggambarkan bahawa hidupan air seperti krustasea, seperti mana juga ikan-ikan kecil, boleh didapati di kawasan-kawasan yang mempunyai struktur-struktur di dalam air, di mana struktur-struktur ini menjadi tempat persembunyiannya.

    Oleh itu, struktur seperti tiang-tiang jeti, kayu tenggelam, batu karang, kapal tenggelam dan lain-lain lagi merupakan tempat yang paling sesuai untuk memulakan pencarian.

    Semantara itu, kehadiran pemangsa-pemangsa seperti burung yang berlegar-legar berdekatan juga boleh menjadi penanda utama akan kehadiran gerombolan ikan-ikan kecil, terutamanya di kawasan perairan terbuka.

    Sekiranya kelihatan burung-burung tersebut terbang menjunam ke permukaan air, ini selalunya bermakna umpan yang awda cari ada berdekatan.

    Tetapi kadang-kadang tidak semua orang mempunyai kebebasan untuk bergerak ke sana-sini untuk mencari umpan, terutamanya bagi pemancing yang tidak menggunakan perahu, sama ada memancing dari tebing, jeti, jambatan atau rumah-rumah terapung.

    Dalam hal ini menggunakan umpan tabur sama ada umpan dedak, roti, tepung atau cencangan isi ikan atau udang, mahupun ia digaul bersama boleh menarik perhatian ikan-ikan kecil dan krustasea untuk berkumpul di kawasan tersebut.

    Untuk menangkap umpan hidup cara paling cepat adalah dengan menggunakan jala atau kata orang kitani, rambat. Rambat panjang atau pendek yang penting sesuaikan besar mata rambat dengan jenis umpan yang dihajati, contohnya rambat udang mempunyai mata yang lebih halus berbanding rambat kembura atau rambat ikan secara amnya.

    Selain itu faktor panjang dan berat rambat tersebut juga perlu diambil kira dengan kedalaman air dan kekuatan arus.

    Semakin berat rambat semakin laju ia tenggelam dan memerangkap ikan atau udang. Namun semakin panjang dan berat rambat itu semakin susah ia untuk dilontar. Walau bagaimanapun, berhati-hati ketika melontar rambat, teliti dahulu kawasan sekeliling takut-takut ‘rakat’ setelah dilontar.

    Selain itu, penggunaan anjun atau Sabiki Rig juga merupakan salah satu cara mudah untuk menangkap ikan-ikan kecil untuk dijadikan umpan.

    Sama ada anjun yang diikat dengan bulu atau dipasangkan hirisan kecil isi ikan atau udang akan membuahkan hasil.

    Anjun yang dipasangkan dengan joran ringan akan memudahkan awda mengesan getuan ikan, akan tetapi janganlah terburu-buru untuk menggulung pancing sebaik sahaja terasa getuan, tahankan beberapa saat kerana selalunya ikan-ikan kecil yang berkawanan akan menyambar mata-mata kail lain yang ada pada anjun tersebut.

    Sementara itu, cara paling mudah untuk menangkap umpan hidup dengan menggunakan perangkap bubu. Sama ada bubu yang dibeli atau diperbuat sendiri daripada botol air yang diikat dengan tali dan diisi dengan umpan di dalamnya, pemancing hanya perlu labuh dan tunggu.

    Umpan hidup yang ditangkap perlulah disimpan di tempat yang sesuai bagi memastikan ia terus hidup dan sedia digunakan di sepanjang trip memancing.

    Kebanyakan perahu pancing kini mempunyai tong tempat menghidupkan umpan, namun sekiranya tiada, atau tidak memancing berperahu, bekas khas seperti rawa atau baldi berlubang yang boleh direndam dalam air juga merupakan pilihan terbaik.

    Selain itu ia juga boleh disimpan di dalam baldi yang diisi air, tetapi ia memerlukan sedikit perkara yang perlu sentiasa diberi perhatian oleh pemancing bagi memastikan umpan itu kekal hidup.

    Ini termasuk menyediakan dan memastikan pam peng- udaraan sentiasa berfungsi dalam keadaan yang baik.

    Secara ringkasnya pam pengudaraan ini akan memaksa angin masuk ke dalam air tempat umpan berenang.

    Angin tersebut akan menghasilkan buih yang membawa oksigen, yang kemudian sebahagiannya akan menyebati dengan air, dan terbit ke bahagian permukaan sebagai kocahan melepaskan gas-gas seperti karbon dioksida yang terkandung di dalam air.

    Mempunyai pam pengudaraan sahaja tidak cukup untuk menjamin umpan akan hidup dengan lama.

    Pemancing juga perlu mengekalkan kualiti air dengan cara kerap menukar air di dalam bekas atau baldi tersebut.

    Akan tetapi sekiranya sukar untuk mendapatkan air baharu untuk menggantikan air dalam bekas seperti faktor tempat memancing terlalu tinggi, umpan disimpan untuk esok, dalam perjalanan yang jauh, tiada bekas lain untuk mengambil air dan lain-lain, awda bolehlah mengurangkan keaktifan umpan agar ia tidak banyak menggunakan oksigen dan melepaskan toksin yang boleh mempengaruhi kualiti air yang terhad itu dengan pantas.

    Caranya adalah dengan memastikan air di dalam bekas atau baldi tersebut sedikit lebih dingin dengan memasukkan ais dalam botol atau ais kiub ke dalam bekas tempat menyimpan umpan hidup sekali-skala.

    Walau bagaimanapun, jangan sampai berlebih-lebihan kerana perubahan suhu yang drastik boleh menyebabkan umpan hidup awda mati.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Utusan AS ke PBB berikrar sokong keluarga Jepun yang diculik Korea...

    TOKYO, 18 APRIL - Amerika Syarikat (AS) berdiri bersama Jepun sehingga semua warga Jepun yang diculik oleh Korea Utara beberapa dekad lalu pulang ke...