CARAT 2021 dibuka rasmi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Pandemik COVID-19 yang berterusan tidak mematahkan semangat Negara Brunei Darussalam dan Amerika Syarikat (AS) daripada meneruskan Eksesais Dua Hala Cooperation Afloat Readiness and Training (CARAT) 2021, ke-27 seperti yang dirancang dalam meraih ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam menangani ancaman keselamatan.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Staf, Markas Angkatan Bersama (KS,MAB) Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Kolonel Saifulrizal bin Abdul Latif selaku pengerusi bersama CARAT 2021 dalam ucapan mewakili ABDB semasa Majlis Pembukaan Eksesais CARAT 2021 antara ABDB dan Tentera Laut Amerika Syarikat (TLAS) yang dirasmikan secara dalam talian, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini.

Kolonel Saifulrizal turut menyatakan bahawa para perancang latihan juga memastikan supaya latihan itu mencapai objektifnya dan mematuhi garis pandu pencegahan COVID-19 dari Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, Commodore, Commander, Destroyer Squadron 7 (COMDERSON SEVEN), Kapten Tom Ogden selaku pengerusi bersama CARAT 2021 dalam ucapan mewakili TLAS menekankan bahawa CARAT ke-27 menggariskan peranan CARAT yang telah lama wujud dalam menangani kepentingan keselamatan maritim bersama dalam kalangan rakan kongsinya bagi memastikan keselamatan, kestabilan dan kemakmuran serantau.

Kenyataan menyatakan bahawa turut hadir secara dalam talian pada majlis berkenaan ialah Ketua Pejabat Pertahanan, Kedutaan AS di Negara Brunei Darussalam, Komander Randall D Jones TLAS serta peserta daripada unit-unit yang berkenaan dari kedua-dua buah negara.

Kolonel Saifulrizal dan Kapten Tom Ogden semasa menghadiri Majlis Pembukaan Eksesais CARAT 2021 antara ABDB dan TLAS yang diadakan secara dalam talian. – Gambar serahan
Kementerian Pertahanan

Eksesais pada tahun ini sekali lagi merangkumi latihan Fasa Laut tanpa sentuhan dan Fasa Pantai yang dilaksanakan melalui interaksi dalam talian termasuk Maritime Domain Awareness (MDA), Riverine Best Practices, Latihan Perlindungan Pasukan, Keupayaan Sistem Udara Tanpa Pemandu (UAS), Latihan Penerbangan Maritim, Program Interaksi Wanita, Band Subject Matter Expert Exchange (SMEE), pakar perubatan dalam melaksanakan mitigasi pandemik semasa serta simposium undang-undang.

Eksesais CARAT yang dilaksanakan secara tahunan itu bertujuan untuk meningkatkan interoperability, profesionalisme dan kecekapan kedua-dua angkatan tentera dan agensi yang
mengambil bahagian serta meningkatkan kerjasama dalam memberikan tindak balas dalam menangani cabaran keselamatan tradisional dan bukan tradisional.

Eksesais CARAT 2021 akan dijalankan selama empat hari, bermula kelmarin dan berakhir pada 19 November.