Friday, October 11, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cardiff tersingkir dari saingan EPL

    CARDIFF, United Kingdom, 5 Mei – Cardiff City disingkirkan daripada saingan Liga Perdana Inggeris musim depan selepas kekalahan 3-2 kepada Crystal Palace.

    Skuad kendalian Neil Warnock memerlukan kemenangan untuk menghidupkan peluang sehingga hari terakhir musim tetapi diatasi Palace di Stadium Cardiff City.

    Cardiff di tangga ketiga tercorot liga ketinggalan empat mata di belakang Brighton dengan hanya satu perlawanan berbaki, dan bakal menyertai Huddersfield serta Fulham di Liga Kejuaraan musim depan.

    The Bluebirds kembali ke divisyen dua selepas menyertai Liga Perdana Inggeris musim lalu, susulan sembilan kekalahan dalam 11 perlawanan terakhir mereka. “Kami sudah berusaha sebaik mungkin. Kami menunjukkan kelemahan yang meletakkan kami di mana kami berada sekarang,” kata Warnock.

    “Tetapi kelab ini kembali bernyawa. Itu perkara yang lebih penting. Ketika kami tiba di sini ia hampir lenyap.

    “Saya bangga dengan apa yang kami lakukan. Ia sepatutnya berakhir lebih baik tetapi ia di luar kawalan.”

    Pemain sayap Palace Wilfried Zaha, yang pernah dipinjamkan ke Cardiff pada tahun 2014, meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-28.

    Tiga minit kemudian Martin Kelly tertampan bola ke gawang sendiri untuk menjadikan kedudukan kembali seimbang, tetapi penyerang pinjaman dari Chelsea Michy Batshuayi meledak gol untuk Palace pada minit ke-40.

    Andros Townsend memastikan penyingkiran Cardiff pada minit ke-70 walaupun tuan rumah cuba bangkit menerusi jaringan Bobby Reid pada minit ke-90. – AFP

    Pemain Cardiff, Aron Gunnarsson melangkah keluar padang selepas tewas kepada Palace dalam aksi terakhir liga, sekali gus tersingkir daripada EPL musim depan. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda