ZIMBABWE – Sejak zaman kanak-kanak, Loveness Bhitoni telah mengumpul buah-buahan dari pokok baobab gergasi yang mengelilingi rumahnya di Zimbabwe untuk menambah variasi pada makanan ruji terdiri daripada jagung dan bijirin keluarga.
Bhitoni yang berusia 50 tahun tidak pernah melihat pokok tersebut sebagai sumber pendapatan, sehingga sekarang.
Kemarau yang disebabkan oleh perubahan iklim telah memusnahkan tanamannya.
Sementara itu, dunia semakin menggemari buah baobab tahan kemarau sebagai makanan kesihatan semula jadi.
Bhitoni bangun sebelum subuh untuk mencari buah baobab, kadangkala berjalan kaki ayam walaupun landskap panas dan berduri dengan risiko serangan hidupan liar.
Dia mengumpulkan buah bercangkerang keras dari pokok purba itu dalam guni dan menjualnya kepada pemproses makanan perindustrian atau pembeli individu dari bandar.
Perniagaan baobab, yang berasal di kawasannya pada 2018, sebelum ini akan membantu membiayai yuran sekolah kanak-kanak dan pakaian untuk penduduk tempatan di bandar kecil Kotwa di timur laut Zimbabwe.
Kini, ia adalah soal kelangsungan hidup berikutan kemarau teruk terbaharu di selatan Afrika, diburukkan lagi oleh fenomena cuaca El Nino.
“Kami hanya mampu membeli jagung dan garam,” kata Bhitoni selepas menuai sepanjang hari.
“Minyak masak adalah satu kemewahan kerana wang tidak mencukupi. Kadang-kadang saya menghabiskan sebulan tanpa membeli sebuku sabun. Saya tidak dapat bercakap tentang yuran sekolah atau pakaian kanak-kanak.”
Pasaran global untuk produk baobab telah meningkat, menukar kawasan luar bandar Afrika yang kaya dengan pokok kepada pasaran sumber.
Pokok-pokok yang terkenal mampu bertahan dalam keadaan teruk seperti kemarau atau kebakaran, memerlukan lebih daripada 20 tahun untuk mula mengeluarkan buah dan tidak ditanam tetapi tumbuh liar.
Puluhan ribu penduduk luar bandar seperti Bhitoni telah muncul untuk memenuhi keperluan mereka.
Pertubuhan Baobab Afrika, dengan ahli di semua negara pengeluar baobab di benua itu, mengunjurkan bahawa lebih 1 juta wanita Afrika luar bandar boleh meraih faedah ekonomi daripada buah itu, yang kekal segar untuk tempoh yang lama kerana kulitnya yang tebal.
Ahli pertubuhan melatih penduduk tempatan tentang keselamatan makanan.
Mereka juga menggalakkan orang ramai untuk mengumpul buah itu, yang boleh membesar hingga 8 inci lebar dan 21 inci panjang, daripada tanah dan bukannya kerja berbahaya memanjat pokok besar yang berbatang tebal. Walau bagaimanapun, ramai, terutamanya lelaki, masih melakukannya.
Berasal dari benua Afrika, baobab dikenali sebagai ‘pokok kehidupan’ kerana ciri-cirinya yang mampu bertahan dan ditemui dari Afrika Selatan ke Kenya, Sudan dan Senegal.
Zimbabwe mempunyai kira-kira 5 juta pokok itu, menurut Zimtrade, sebuah agensi eksport kerajaan.
Namun manfaat kesihatan baobab telah lama tidak disedari di tempat lain.
Gus Le Breton, perintis industri, mengenang era awal pokok itu.
“Baobab tidak berkembang menjadi makanan super terkenal yang diniagakan di seluruh dunia secara sengaja,” kata Le Breton, sambil mengimbau ujian kawal selia, keselamatan dan toksikologi selama bertahun-tahun untuk meyakinkan pihak berkuasa di Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat untuk meluluskannya.
“Ia tidak masuk akal kerana buah baobab telah dimakan di Afrika dengan selamat selama ribuan tahun,” kata Le Breton, ahli etnobotani yang pakar dalam tumbuhan Afrika yang digunakan untuk makanan dan perubatan.Kajian telah menunjukkan bahawa buah baobab mempunyai beberapa khasiat kesihatan sebagai antioksidan, dan sumber vitamin C dan mineral penting seperti zink, kalium dan magnesium.
AS membenarkan import serbuk baobab sebagai ramuan makanan dan minuman pada 2009, setahun selepas EU. Tetapi untuk cita rasa asing menerima rasa masam itu mengambil perjalanan berulang ke negara Barat dan Asia.
“Tiada sesiapa yang pernah mendengarnya, mereka tidak tahu bagaimana menyebut namanya. Ia mengambil masa yang lama,” kata Le Breton. Pokok itu disebut BAY-uh-bab.
Selain China, AS dan Eropah kini menyumbang kepada pasaran terbesar serbuk baobab.
Pusat Promosi Import kerajaan Belanda berkata pasaran global boleh mencecah AS$10 bilion menjelang 2027.
Le Breton berkata persatuannya me-ngunjurkan pertumbuhan sebanyak 200 peratus dalam permintaan global antara 2025 dan 2030, dan juga sedang mempertimbang untuk meningkat penggunaan dalam kalangan penduduk bandar Afrika yang semakin mementingkan kesihatan.
Syarikat seperti Coca-Cola dan Pepsi telah membuka barisan produk yang mempromosikan ramuan baobab.
Di Eropah, serbuk itu dipromosikan oleh sesetengah pihak sebagai mempunyai kualiti asli dan digunakan untuk menyedapkan minuman, bijirin, yogurt, bar snek dan barangan lain. – AP