Cari jalan kompromi tangani isu minyak sawit

MANCHESTER, 24 FEB – Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) berpandangan bahawa sebarang perkembangan negatif berhubung minyak sawit boleh diselesaikan menerusi perspektif jelas serta penjelasan yang progresif dan seimbang mengenai rantaian nilai komoditi oleh kedua-dua pembeli minyak sawit utama dan juga pengeluar utama.

Ketua Operasinya (Eropah) Dr Inke van der Sluijs berkata perlu ada komunikasi dan perbincangan selanjutnya antara negara pengeluar dan negara pengguna bagi mencari penyelesaian jangka panjang yang menyumbang kepada rantaian bekalan minyak sawit lestari, yang sepatutnya termasuk pekebun kecil sawit, kerajaan dan masyarakat madani.

“Ia bukan hanya bagi minyak sawit sahaja tetapi juga bagi rantaian bekalan komoditi lain juga,” katanya kepada Bernama. Mengenai berita tentang perladangan kelapa sawit yang menghasilkan jejak karbon yang besar, beliau menegaskan langkah menggantikan minyak sawit dalam biobahan api bermakna perlu menggantikan sumber bahan api.

“Penting untuk menimbangkan kesan menggantikan bahan ini dan beralih kepada minyak alternatif, sebagai contoh, akan memerlukan lebih banyak tanah dan air, yang sudah pasti tidak akan dapat mengurangkan jejak karbon,” katanya.

Parlimen Eropah (EU) bersetuju untuk menghentikan penggunaan minyak sawit dalam bahan api pengangkutan bermula secara efektif 2024 dan menghentikan sepenuhnya import minyak sawit bagi bahan api pengangkutan menjelang 2030. Indonesia, Malaysia dan Thailand adalah sumber utama import minyak sawit EU. – Bernama