Cari jodoh cara lama

TOKYO, 20 JUN – Bosan mencari jodoh di laman Tinder? Sebuah bandar di Jepun mempunyai cara mencari jodoh yang mencatatkan kejayaan mengejutkan – dengan menulis surat cinta.

Orang bujang di bandar selatan Miyazaki, Jepun digalakkan menulis surat cinta untuk mencari pasangan mereka, bukannya menggunakan teknologi, sebahagian daripada skim majlis perbandaran itu meningkatkan kadar kelahiran yang rendah.

Surat cinta tulisan tangan telah menarik ramai orang bujang sehinggakan penganjur melaratkan program itu kepada orang ramai yang tinggal lebih jauh daripada bandar tersebut.

“Berbanding berjanji temu online, ia mengambil masa panjang dan memberi inspirasi kepada awda untuk membayangkan orang yang berkomunikasi dengan awda,” kata Rie Miyata, ketua sebuah firma konsultasi tempatan yang ditugaskan menjalankan skim itu.

“Ia tidak melihat bagaimana bagusnya penulisan awda. Ia lebih kepada kenyataan bahawa awda menulis setiap perkataan dengan penuh jujur, berhati-hati dan berfikir sedalam-dalamnya mengenai orang yang ditujukan. Itulah yang menjadikan surat-surat ini amat berkesan,” katanya kepada AFP.

Sejak 2020, ketika skim itu bermula, 450 orang telah mendaftar – lebih daripada dua kali ganda jangkaan awal pihak berkuasa – dengan sekitar 70 peratus daripadanya dalam usia 20 dan 30an. Pemohon disaring oleh kumpulan Miyata dan dipasangkan dengan pasangan serasi berdasarkan maklumat yang diberikan mengenai diri mereka seperti filem kegemaran, buku dan sukan.

Namun satu-satunya yang didedahkan ialah usia rakan baru mereka dan tiada gambar profil dipaparkan. “Wajah sering menjadi faktor penentu, kata Miyata, namun dalam surat, awda dihakimi dengan personaliti. Surat dipos kepada penganjur yang membacanya seimbas lalu bagi memastikan tiada perkataan lucah atau penghinaan sebelum dihantar kepada penerimanya. Setakat ini, 32 pasangan telah bersua, dengan 17 pasangan menjalinkan hubungan romantik. – AFP