LONDON, 24 OKT – Michael Carrick telah dilantik sebagai pengurus pasukan baharu bagi kelab Middlesbrough, umum kelab, kelmarin.
Bekas pemain tengah Manchester United berumur 41 tahun yang menggantikan Chris Wilder, yang telah dipecat awal bulan ini, akan tampil di stadium Riverside bagi menggantikan Jonathan Woodgate, yang akan kembali sebagai jurulatih pasukan pertama kelab timur laut itu.
“Kelab ini berbesar hati untuk mengumumkan pelantikan Michael Carrick sebagai ketua jurulatih,” menurut satu kenyataan yang disiarkan di laman web Middlesbrough.
“Michael membawa bersama pengalaman berharga kepada kelab ini setelah bermain dengan Manchester United selama 12 tahun sebelum menjadi jurulatih dan pengurus pasukan kelab Old Trafford.”
Pengerusi Boro, Steve Gibson menambah: “Kami sangat gembira untuk mengalu-alukan Michael ke kelab kami.
“Kami telah mengenal pasti beberapa orang yang berpotensi untuk mengisi kekosongan ini, dan sangat kagum dengan mereka, namun, Michael merupakan calon yang paling menonjol.
“Michael berkongsi nilai yang sama dengan kelab ini, dan kami mempunyai cita-cita yang sama.
“Kami melihat Michael sebagai individu yang paling sesuai untuk kami dan dia juga percaya kelab inilah yang betul pada masa yang betul.”
Carrick berkata: “Saya berasa sangat beruntung dan teruja untuk berada di sini dan dapat merasai semangat untuk perlawanan akan datang dan untuk Boro.” – AFP